Monday, October 20, 2014

Perkakas komputer dan Implikasi kerosakannya

Assalamualaikum wrh wbr… Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang menguasai sekalian alam, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat serta para sahabat baginda radiAllahu ‘anhum ajma’in, semoga kita sentiasa di kurniakan hidayah petunjuk, dan di kurniakan ilmu yang bermanfaat.

Mungkin dari kalangan anda ada yang baru berjinak-jinak dengan komputer, dan mungkin ada yang sudah berpuluh-puluh tahun menggunakan komputer, dan mungkin juga ada dari kalangan anda yang sudah mengenali perkakas-perkakas komputer, mungkin juga ada yang belum mengenali, insyaAllah kali ini saya akan kongsikan kepada anda beberapa perkakas komputer (bergambar) beserta dengan implikasi kerosakannya kepada komputer anda supaya mudah untuk mengenalpasti apa yang rosak dalam komputer anda, perkongsian implikasi kerosakan ini adalah berdasarkan pengalaman saya membaik pulih komputer sama ada laptop/desktop selama lapan tahun, sekiranya ada pertambahan silakan untuk sama-sama berkongsi.

P/s: Gambar-gambar perkakas komputer yang dipaparkan adalah untuk komputer desktop, bukan laptop.

Perkakas-perkakas komputer dan implikasi kerosakannya:

1. Motherboard/mainboard.

 
Motherboard/mainboard atau Melayunya disebut papan litar utama adalah berfungsi sebagai tonggak utama bagi menghubungkan segala perkakas komputer supaya mereka semua dapat berfungsi dengan sempurna, tanpa motherboard siapa lah komputer.

Implikasi Kerosakannya:
Disebabkan motherboard adalah litar yang utama, maka kerosakannya akan menyebabkan implikasi yang banyak, oleh itu, implikasi kerosakan perkakas-perkakas lain boleh juga terjadi kerana implikasi kerosakan motherboard.

 
2. Power Supply
Power Supply adalah pembekal utama bekalan elektrik ke dalam komputer anda, daripada plug, terus disambungkan kepada Power Supply kemudian dibahagi-bahagikan arus elektrik ke perkakas-perkakas lain mengikut kesesuaian voltannya.

Implikasi kerosakannya:
Komputer tiada respon setelah menekan butang power On, ini kerana bekalan elektrik tidak dapat disalurkan, jika sudah diganti power supply yang baru namun komputer masih tak boleh on, cuba cek bil elektrik, berapa bulan dh tak bayar, hehe. 


3. Random Acces Memory (RAM)

RAM adalah berfungsi sebagai penyimpan memori sementara, memori sementara ni berfungsi menampung memori aplikasi yang anda buka, sebagai contoh Microsoft Word dsb, lain aplikasi lain saiz memori sementaranya.

Implikasi Kerosakannya: 
Apabila anda menekan butang On pada komputer anda, kebiasaannya komputer akan hidup, lampu menyala, kipas bepusing, namun sitem tak dapat boot dan skrin menjadi gelap.

 
4. Computer Processing Unit (CPU).
CPU ni boleh juga kita gelar otak komputer, segala proses berfikir komputer anda akan berlaku di sini, CPU biasanya sukar untuk kita lihat kerana ia menyorok di bawah sistem penyejuknya, sama ada kipas dsb, contoh CPU adalah seperti Intel Core i3, i5, i7, AMD Phenom dll.
Implikasi Kerosakannya:
Sama seperti kerosakan RAM, akan tetapi CPU amat jarang rosak, kecuali anda seorang kaki Game, bagi yang menggunakan desktop, anda disarankan untuk sentiasa cek liquid thermal supaya pengaliran haba dari CPU ke sistem penyejuk dapat berjalan lancar.

 
5. Harddrive
 
Harddrive adalah kotak penyimpan memori/data, jika anda lihat dalam My Computer, anda akan dapati ada beberapa partition seperti C, D, E dsb, partition itu adalah ruang memori harddrive yang telah dibahagi-bahagikan, kebiasaan komputer menggunakan harddrive jenis harddisk, namun ada teknologi terkini yang lebih tahan, kompak serta lebih pantas dari harddisk iaitu Solid State Drive (SSD).

Implikasi Kerosakannya:
Apabila anda On komputer, anda akan kedengaran bunyi dari harddrive yang rosak, bunyi yang agak bising, jika yang rosak adalah drive yang menyimpan data sistem operasi komputer anda, maka ketika PC hendak boot akan keluar ayat “Boot Failure, Reboot and select proper boot device or insert boot media in selected boot device”, ini adalah kerana sistem tak dapat mencari device yang menyimpan file sistem untuk di boot.


6. DVD/CD Rom Drive
 

Ini adalah driver yang berfungsi untuk membaca DVD/CD, rasanya semua sudah sedia maklum dengan fungsinya, tak pernah lagi dengar kes orang masukkan pendrive dalam DVD/CD drive ni..

Implikasi Kerosakannya:
Jika DVD/Cd Rom drive komputer anda rosak, tidak ada implikasi kepada komputer anda, komputer boleh boot dan masuk ke sistem windows seperti biasa, Cuma anda tidak boleh membaca DVD/CD melalui drive yang telah rosak.



7. Graphic Card




 

Jika memproses sistem dilakukan oleh CPU, maka untuk memproses kecekapan grafik pula ialah tugas Graphic Processing Unit (GPU), kebiasaannya digunakan untuk memproses grafik paparan windows, video, game dsb supaya gambar lebih tampak real.

Implikasi Kerosakannya:
Banyak implikasi jika GPU rosak, antaranya adalah paparan pada skrin rosak, kadang komputer dapat boot sehingga masuk ke sistem windows, tetapi skrin monitor gelap memanjang, boleh jadi juga komputer hidup, lampu menyala, kipas berpusing tetapi sistem tak dapat boot, sebagaimana yang pernah saya alami, apabila saya on komputer, lampu hidup (warna oren), kipas berpusing, namun sistem tak dapat boot, bila saya cek rupanya di papan litar graphic card ada setitis kencing tikus, selepas lap barulah komputer dapat boot seperti biasa, bahaya gak kencing tikus ni, bukan aje boleh bunuh manusia, tapi boleh bunuh komputer..


8. CMOS Battery


 
Bateri CMOS ni adalah bateri yang berbentuk seperti bateri jam, yang bersaiz duit syiling 20 sen, kedudukan rumahnya adalah di atas motherboard.

Implikasi Kerosakannya:
Apabila bateri CMOS rosak/habis powernya, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada komputer anda, kecuali hanya akan mengganggu sistem masa dan tarikh pada komputer anda, iaitu masa dan tarikh yang dipaparkan tidak bertepatan dengan waktu sebenar, ini akan menyebabkan gangguan apabila anda ingin surf internet kerana setiap kali anda buka mana-mana web address, browser akan paparkan “This Connection is Untrusted”.
Setakat ini, itu sahaja yang dapat saya kongsikan, mungkin ada banyak lagi implikasi kerosakan perkakas-perkakas komputer di atas yang saya terlepas pandang atau di luar pengetahuan saya, oleh itu, insyaAllah kita sama-sama kongsi pengalaman dan ilmu, wallahu a’lam..

Sebarang pertanyaan, idea, cadangan, kritikan, pendapat, pertambahan dsb, sila tinggalkan di ruangan komen atau email ke khairussyafiq@gmail.com.

No comments:

Post a Comment