Saturday, October 18, 2014

Pengenalan apa itu SAKA

Assalamualaikum wrh wbr… Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan segala nikmat dan limpahan rahmat kepada hamba-hambaNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat, serta para Sahabat baginda radhiAllahu ‘anhum ajma’in. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa di bawah rahmat Allah SWT, dan semoga kita dijauhkan oleh Allah dari perbuatan-perbuatan syirik.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, jin mempunyai pelbagai gelaran, antaranya ialah jembalang, polong, hantu raya, pelesit, toyol, bunian, saka, dan sebagainya, gelaran-gelaran ini diberikan bergantung pada sifat dan perilaku jin tersebut, insya-Allah pada kali ini saya akan membicarakan serba sedikit perihal jin yang digelar SAKA.

SAKA ialah gelaran yang diberikan kepada sejenis jin yang ditugaskan oleh seseorang untuk pelbagai tujuan melalui perjanjian yang telah dimeterai antara tuan punya jin dengan jin tersebut. Sebagai contoh analoginya, sama seperti seorang yang bergelar VIP mengupah bodyguard untuk menjaga dirinya dari bahaya, VIP adalah sebagai tuan punya jin, manakala bodyguard adalah sebagai jin.

Individu yang berkehendak kepada SAKA akan berjumpa dengan dukun / bomoh bagi menyatakan hasrat untuk membela SAKA bagi tujuan-tujuan tertentu seperti perlindungan (diri, keluarga, harta benda), kekuatan, kekebalan, kelebihan dan sebagainya. kelebihan di sini adalah antaranya boleh mengurut, bersilat, merawat dsb. walaupun tidak pernah mempelajari bidang-bidang tersebut.

Perjanjian yang dimeterai antara tuan jin dengan jin melibatkan penunaian tuntutan jin terhadap sesuatu perkara sebagai balasan bagi menjalankan tugasnya, inilah yang disebut kontrak antara jin dengan tuan jin, sebagai contoh, tuan jin dikehendaki memberi makanan berupa darah kepada jin setiap malam sebagai upah kepadanya bagi menjaga tuannya, ini adalah bergantung pada permintaan jin tersebut, lagi berat tugas jin tersebut, lagi berat permintaan upahnya.

Kita sebagai umat Islam perlu ketahui bahawa membela SAKA bagi tujuan tertentu adalah haram, ini kerana perbuatan tersebut adalah mensyirikkan Allah dengan sesuatu, firman Allah SWT dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud “dan sesungguhnya ada beberapa orang laki-laki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat”. Kebiasaannya mereka yang membela SAKA akan mendapat kesusahan apabila dia ingin menjalankan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, mendengar bacaan al-Quran dan sebagainya kerana jin SAKA yang berada di dalam badan akan kepanasan dan akan berusaha menghalang tuannya dari melakukan ibadah tersebut yang menyebabkan akhirnya pembela SAKA tersebut terpaksa meninggalkan terus ibadahnya, dan dalam situasi ini, pembela SAKA tersebut sudah menjadi hamba kepada jin SAKA belaannya, ini lah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam surah al-Jin ayat 6 di atas iaitu jin yang diminta perlindungan tersebut akan menjadikan manusia bertambah sesat.

Perlu juga diketahui bahawa kebiasaannya kontrak jin SAKA ini akan melibatkan tujuh keturunan anak cucu cicit, apabila tuan empunya jin sudah hampir kepada ajal, maka jin SAKA akan berusaha mencari pewaris untuk meneruskan kontraknya, sama ada isteri, anak, mahupun cucu kepada pembela asal jin SAKA ini, selagi jin tersebut tidak bertemu dengan warisnya, maka selagi itu pemilik asal akan menghadapi kesukaran dalam menghadapi sakaratulmaut.

Bagaimana jin SAKA diwarisi?

Ada beberapa cara jin SAKA ini diwariskan kepada tuannya yang baru, perlu diingatkan bahawa ia boleh berpindah/diwarisi walaupun tanpa kerelaan dan kesedaran oleh tuan barunya, SAKA juga boleh diwarisi walaupun tuan asalnya masih hidup, sebagai contoh, seorang datuk yang membela SAKA, kemudian dia ingin mewariskan SAKA tersebut kepada cucunya dengan cara tertentu, antaranya memberi barang-barang pusaka kepada cucunya seperti cincin, keris dsb. Ia boleh juga berlaku dengan hanya bersalaman tanpa disedari oleh cucunya.

Jika pemilik asal tidak mencari waris sedang dia sudah di ambang sakaratulmaut, maka dalam situasi ini jin SAKA akan mencari sendiri warisnya dari kalangan kaum kerabat yang terdekat, walaupun secara zahir, waris barunya tidak rela membela SAKA, namun disebabkan amalannya kurang, tidak solat, tidak membaca al-Quran atau jiwanya lemah, maka secara automatik dia telah pun merelai dirinya menjadi pewaris SAKA, dan kerelaan tersebut akan terzahir di dalam mimpinya.

Antara tanda-tanda bahawa dirinya bakal menjadi pewaris SAKA ialah kerap mimpi seseorang datang memberi bayi kepadanya, kebiasaannya wajah bayi tersebut menyerupai wajah orang yang kita sayang, sama ada anak, adik dsb. Selain itu juga, kerap bermimpi mendukung bayi, dan yang lebih parah lagi adalah kerap bermimpi menyusukan bayi.

Adakah SAKA boleh dibuang?

SAKA dalam badan seseorang boleh dibuang, tetapi hendaklah mengikut kaedah yang betul, jangan dihalau jin tersebut sebelum memutuskan kontrak asalnya, ini kerana jika dihalau sebelum kontrak diputuskan, maka jin tersebut akan masuk kembali ke dalam badan pesakit, walau bagaimanapun, sekiranya kontrak sudah dibatalkan dan jin sudah keluar, masih ada lagi potensi untuk ia kembali lagi kepada pesakit, jin tersebut akan berusaha mencari peluang untuk kembali ke tubuh pesakit, kebiasaannya ketika pesakit sedang lalai dari mengingati Allah, pernah suatu ketika, saya merawat seorang mangsa SAKA yang diwarisi tanpa kerelaan, ketika disuruh membaca ikrar pemutus pesakit secara tiba-tiba menangis, selepas beberapa hari dari hari dia dirawat, mangsa mengadu dia bermimpi seorang bayi yang sedang marah dan menerkamnya dengan tidak mahu melepaskan mangsa, maka mangsa perlu menjalani rawatan susulan.

Walaupun begitu, kita tidak perlu berputus asa dalam mencari jalan penyelesaian, kita perlu sedar bahawa ia adalah ujian daripada Allah untuk mengangkat darjat iman kita, jika sebelum diuji, kita seorang yang sering lalai dari mengingati Allah, maka selepas diuji, insya-Allah kita akan menjadi orang yang sentiasa mengingati Allah. Pesakit tidak seharusnya mengharapkan bantuan dari perawat semata-mata, akan tetapi pesakit kena berusaha membantu dirinya sendiri, dan yang lebih penting adalah memohon pertolongan dari Allah, kerana yang menurunkan ujian itu juga adalah Allah, maka jalan penyelesaiannya haruslah kembali kepada Allah.

Berikut adalah beberapa ayat yang boleh diamalkan untuk menghindarkan diri kita dari menjadi pewaris SAKA:

Surah al-Baqarah ayat 255-257
Surah al-Baqarah ayat 284-286
Surah al-Hasyr ayat 21-24
Surah al-Jin ayat 5-9

Mencegah lebih baik dari mengubati, sekiranya mampu, amalkan setiap selepas solat subuh & maghrib, jika tidak mampu pilih antara selepas subuh atau selepas maghrib, semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mengingati Allah SWT. Wallahu a’lam..

1 comment:

  1. How to get a welcome bonus from the best slot site - LuckyClub
    No deposit and registration are required. We use cookies luckyclub to give you the best experience. Try the Best UK Slot Games. Find out how.

    ReplyDelete