Friday, October 17, 2014

Cara Merawat Pesakit Histeria (Rawatan Awal)


Assalamualaikum wrh wbr… Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan segala nikmat dan limpahan rahmat kepada hamba-hambaNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat, serta para Sahabat baginda radhiAllahu ‘anhum ajma’in. InsyaAllah kali ini saya akan kongsikan beberapa kaedah tindakan awal bagi menghadapi pesakit histeria.

Berikut adalah tindakan awal bagi merawat pesakit histeria:

Jika sahabat kita diserang histeria, jangan panik, tindakan pertama yang perlu anda lakukan adalah panggil dua tiga rakan anda untuk bergegas ke tempat kejadian, dudukkan pesakit sama ada di atas kerusi, katil mahupun di atas lantai. Tindakan seterusnya adalah pasangkan mp3 bacaan surah yasin di telinga pesakit (jika ada), sebelum itu pastikan salah seorang rakan anda stanby jaga di bahagian pintu, dan sorang lagi menjaga pesakit, ini kerana kebiasaannya pesakit histeria akan mengamuk dan berlari selepas mendengar bacaan surah yasin, mereka yang duduk berhampiran dengan pesakit juga perlu berjaga-jaga, takut-takut ditumbuk/dicakar secara tiba-tiba. Lebih bagus sekiranya semua yang berada di sekitar turut serta membacakan yasin beramai-ramai. Sekiranya pesakit tersebut muntah, maka itu adalah petanda baik.

Jika jin tersebut masih berdegil untuk keluar (kebiasaannya selepas mendengar bacaan yasin, jin tersebut akan menjadi lemah), langkah seterusnya adalah azankan di telinga pesakit sebanyak 3x, sekali lagi pesakit akan meraung, menangis, menjerit dan meronta-ronta, jika dapat berdialog dengan jin tersebut adalah lebih bagus, tanyakan beberapa soalan antaranya adakah dia Islam@kafir, dari mana dia datang, apa sebabnya dia mengganggu pesakit, dan mintalah supaya dia keluar dan jangan lagi mengganggu pesakit, kerana kita (jin dan manusia) adalah diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan menyakiti/menganiayai satu sama lain sebagaimana firman Allah dalam surah Az-Zaariyat ayat 56 yang bermaksud “dan tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”. Jika jin tersebut akur Alhamdulillah, suruh dia keluar dan jangan mengganggu lagi.

Namun, sekiranya dia masih lagi berdegil, ikut langkah berikut:

  1. Sediakan air (botol/cawan)
  2. Letakkan tapak tangan kanan di atas pesakit.
  3. Berdoa mohon kepada Allah agar diberi bantuan dan kekuatan untuk merawat.
  4. Selawat 3x
  5. Baca al-Fatihah 3x
  6. Ayat Mu’awwidzatain (al-Falaq & an-Nas) 1x
  7. Surah al-baqarah ayat 255 (Ayat Qursi) 3x
  8. Surah al-Baqarah (ayat 285-286) 1x
  9. Tiupkan pada pesakit & tiupkan pada air.
  10. Azan 1x
  11. Beri pesakit minum air yang telah dibacakan tadi.

InsyaAllah, pesakit akan beransur pulih, sekiranya masih belum reda, ulangi langkah di atas beberapa kali.

P/s:

  • Perawat hendaklah dari kalangan mereka yang konsisten melaksanakan ibadah wajib & konsisten membaca al-quran.
  • Sebelum melakukan rawatan awal ini, pastikan terlebih dahulu anda ikhtiar mencari ustaz/sesiapa yang ‘arif dalam merawat pesakit gangguan, sekiranya tiada atau bantuan lambat sampai, baru lah anda bertindak dengan rawatan awal ini, ini kerana ditakuti yang mengganggu pesakit tersebut bukan calang-calang jin seperti Saka, Sihir, Hantu Raya dsb.
  • Boleh juga bacaan no.4-8 dijadikan amalan harian selepas subuh & maghrib sebagai pendinding diri dari gangguan jin & syaitan.
  • Sekiranya gangguan masih berlanjutan, bawa pesakit ke mana-mana pusat rawatan Islam yang berdekatan untuk tindakan lanjut. 
  • Jangan takbur jika berjaya merawat, dan jangan kecewa jika gagal, kerana kuasa penyembuhan hanya milik Allah, kita hanya berikhtiar, perbanyakkan doa mohon pertolongan dari Allah.
  • Wallahu a’lam, semoga kita dikurniakan ilmu yang bermanfaat. 
 
Sebarang pertanyaan boleh diajukan di ruangan komen @ melalui email, sekian.

No comments:

Post a Comment