Tuesday, October 14, 2014

Bermuda Triangle: Tanda Kekuasaan Allah SWT


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat baginda, serta para Sahabat baginda radhiAllahu ‘anhum ajma’in. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT dan sentiasa berada di atas landasan syariat Islam yang lurus.

Allah SWT telah memperlihatkan kepada kita dan juga kepada kaum-kaum terdahulu mengenai tanda-tanda kebesaranNya dalam penciptaan alam ini, firman Allah SWT dalam surah al-Jaatsiyah ayat 3 yang bermaksud; “Sungguh, pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beriman ”, tujuannya tidak lain hanyalah supaya manusia merenung dan berfikir tentang kebesaran dan keagungan Allah SWT seterusnya beriman dan bertaqwa.

Jika kita perhatikan segala ciptaan di langit mahupun di bumi, maka kita akan dapat menyaksikan betapa hebatnya ciptaan Allah SWT, lebih-lebih lagi dengan kewujudan kemajuan sains dan teknologi kurniaan Allah, maka kita dapat mencerapnya dengan lebih detail, dan sekiranya terdapat satu-satu tanda kebesaran Allah itu yang tidak dapat kita huraikan dengan sains dan teknologi kerana keterbatasan kemampuan akal kita, maka kita akan menganggapnya sebagai perkara misteri.

Firman Allah SWT dalam surah Fushilat ayat 53 yang bermaksud; “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru (bumi) dan pada diri mereka sendiri, hingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu benar, tidak cukupkah (bagi kamu) bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”, ayat ini menjelaskan bahawa setiap sudut di muka bumi ini terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT, ini termasuklah kawasan Segi Tiga Bermuda.

Segi Tiga Bermuda dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Bermuda Triangle, disebabkan kemisteriannya sejak berabad lamanya, maka ia mendapat pelbagai nama dan gelaran, antaranya ialah The Sea of Doom, The Graveyard of the Atlantic, The Devil Triangle dan sebagainya. Segitiga Bermuda terletak berhampiran dengan Miami, dan disebut segitiga kerana ia membentuk kawasan segitiga dengan dihubungkan antara Miami, pulau Puerto Rico dan pulau Bermuda, ditengah-tengah tiga kawasan inilah wujudnya sebuah lautan yang sering berlaku kejadian misteri yang tidak dapat dirungkai oleh manusia walaupun dengan kemajuan sains dan teknologi hari ini.
Kedudukan Segitiga Bermuda

            Misteri Segi Tiga Bermuda bermula sejak beratas-ratus tahun dahulu, antara yang sempat direkodkan ialah pada tahun 1462 masehi, seorang pelayar barat terkenal iaitu Christopher Columbus mengalami kejadian aneh ketika sedang berlayar di kawasan tersebut, dalam catatannya, ketika berlayar melalui kawasan tersebut, beliau mendapati bacaan kompas di kawasan tersebut sangat membingungkan, bukan itu sahaja, malah beliau bersama anak-anak kapal yang lain terlihat satu cahaya aneh di langit.

            Kemudian pada tahun 1918, satu lagi kejadian misteri berlaku terhadap sebuah kapal laut tentera milik NAVY Amerika Syarikat yang bernama USS Cyclops. Kapal tersebut berukuran 542 kaki (165m) panjang dan membawa seramai 300 orang anak kapal berlayar merentasi Segi Tiga Bermuda, secara tiba-tiba kapal tersebut hilang tanpa dikesan, dan tiada panggilan kecemasan dibuat daripada kru kapal tersebut, sejam sebelum kapal tersebut hilang, ia kali terakhir dilihat oleh sebuah kapal tentera Brittish, dan ianya dalam keadaan yang baik tanpa sebarang masaalah, namun sejam selepas itu ianya hilang tanpa kesan, Kapal sepanjang 542 kaki tersebut yang membawa 300 orang anak kapal lenyap selamanya tanpa sebarang petunjuk dan tiada mayat atau serpihan kapal ditemui.
Kapal Laut USS Cyclops

            Pada tahun 1945 pula, sebuah lagi kejadian aneh berlaku di Segi Tiga Bermuda, iaitu misteri kehilangan sekaligus 5 buah kapal terbang pengebom milik NAVY Amerika Syarikat yang membawa 14 kru anak kapal termasuk 5 juruterbang yang berpengalaman. Kejadian ini berlaku ketika mereka sedang melakukan rutin latihan penerbangan selama sejam. Gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan oleh NAVY dengan menghantar sebuah kapal terbang yang membawa seramai 13 kru, namun, kapal tersebut juga hilang dari radar di Segi Tiga Bermuda.


            Banyak lagi kejadian-kejadian aneh dan misteri yang berlaku sejak berabad-abad lalu yang masih tidak dapat dirungkai sehingga ke hari ini, pastinya dengan kejadian-kejadian misteri yang berlaku di Segi Tiga Bermuda mendapat perhatian ramai pihak, dan menimbulkan pelbagai persoalan serta beberapa teori yang dikaitkan dengan misteri Segi Tiga Bermuda. Ada yang mengaitkannya dengan fenomena Kabus Elektronik, Ombak Ganas, UFO, Dajjal dan sebagainya, namun sehingga kini, masih belum ada lagi teori yang dapat menyelesaikan persoalan misteri di Segi Tiga Bermuda.

Kita menganggap kejadian-kejadian yang berlaku di Segi Tiga Bermuda adalah misteri kerana akal kita masih belum mampu untuk merungkai perkara sebenar yang berlaku di kawasan tersebut, walaubagaimanapun, kita sebagai umat Islam harus yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa segala kejadian misteri di seluruh alam ini berada di dalam pengetahuan Allah SWT yang bersifat Maha Mengetahui. Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment