Tuesday, November 25, 2014

Percayalah, ia adalah yang terbaik.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat baginda, serta para Sahabat baginda radhiAllahu ‘anhum ajma’in. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT dan sentiasa berada di atas landasan syariat Islam yang lurus.


Setiap dari kita pasti inginkan yang terbaik, tidak kiralah sama ada keputusan periksa yang terbaik, sekolah yang terbaik, pekerjaan yang terbaik, kediaman yang terbaik, dan sebagainya, serba serbi kita inginkan yang terbaik, dan jika kita tidak memperoleh apa yang kita inginkan, maka mula lah perasaan kecewa akan menyelubungi jiwa kita, maka mula lah hati berbicara dengan tuhan bernada sayu, “Ya Allah, kenapa lah Engkau tidak memberikan aku sekian sekian.”.

Namun sedarkah kita, sebenarnya apa yang kita perolehi itu adalah yang terbaik buat kita, walaupun pada pandangan kita ia bukanlah yang terbaik, tetapi ia adalah terbaik bagi kita menurut Allah. Tidak semestinya apa yang kita suka itu adalah yang terbaik buat kita, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud “dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.




Sebab itu, kadang-kadang kita minta sesuatu sebagai contoh keputusan peperiksaan yang bagus, namun setelah kita berusaha dengan sehabis baik, keputusan yang kita perolehi tidak mencapai apa yang kita sasarkan, itu bukan lah bermakna Allah tidak mendengar doa kita, Allah itu Maha Mendengar, dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita, walaupun Allah tidak memberikan rezeki kepada kita untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, tetapi percaya lah, Allah telah tetapkan rezeki di tempat yang terbaik untuk kita, mungkin rezeki dari sudut beroleh kesihatan, beroleh kebahagian, dan sebagainya.

Tidak semua apa yang kita rancang akan menjadi seperti apa yang kita kehendaki, walaupun kita telah membuat perancangan yang amat rapi, sebagaimana perancangan rapi yang dilakukan para genius saintis barat untuk menghantar space shuttle challenger ke angkasa lepas pada tahun 1986, sudah pasti untuk menghantar angkasawan ke angkasa memerlukan kajian bertahun-tahun, namun, hanya selepas 73 saat berlepas, ia meletup di ruang udara lautan Atlantik yang menyebabkan kematian 7 orang angkasawan. Ingatlah, tidak semua apa yang kita rancang itu akan berhasil, firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 54 yang bermaksud “dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang”.

Walau apa pun yang kita perolehi, itu adalah yang terbaik buat kita, didik lah diri untuk sentiasa redha dengan apa yang kita perolehi, namun begitu, bukanlah bermakna kita perlu lakukan apa jua pekerjaan dengan sambil lewa, kita perlu berusaha sehabis baik, kerana walaupun kita tidak mendapat apa yang kita harapkan setelah kita berusaha dengan gigih, kita akan berasa puas, kerana nilai usaha yang gigih itu lebih baik dari hasilnya. Wallahu ‘alam..




No comments:

Post a Comment