Tuesday, December 16, 2014

Berikhtiar Mencari Penawar.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada kaum kerabat baginda, serta para Sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita masih lagi diberi kesempatan bagi mencari dan mengumpul bekal untuk dibawa ke akhirat kelak, semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beroleh keuntungan di akhirat nanti, amin.

Setiap manusia pasti pernah ditimpa penyakit, sama ada penyakit ringan ataupun penyakit kronik, penyakit berjangkit ataupun yang tidak berjangkit, itu adalah lumrah sifat manusiawi, dan sudah pasti sebagai umat Islam kita harus yakini bahawa ditimpa penyakit adalah merupakan ujian dan musibah dari Allah SWT bagi menguji tahap iman seseorang. Perkara pertama apabila kita ditimpa penyakit ialah mengucapkan innalillahi wa innailaihi raji’uun, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah : 155-156) 

Walau apa pun penyakit yang ditanggung, kita haruslah redha dengan ujian tersebut. Namun, redha dengan penyakit bukanlah bermakna kita membiarkan diri kita dihinggapi banyak penyakit tanpa kita berusaha mencari penawarnya, kita hendaklah berusaha mencari penawarnya, sebagaimana Nabi Ayub ‘alaihissalam ketika ditimpa penyakit, baginda juga memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesembuhan ke atas dirinya. Sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih Mengasihani daripada segala (yang lain) yang Mengasihani".” (al-Anbiyaa’ : 83)

Setiap penyakit itu ada ubatnya, melainkan mati, berikhtiar dengan perubatan moden tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi lebih elok jika digandingkan bersama dengan perubatan menurut al-Quran, ini kerana ayat-ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW juga terdapat di dalamnya penawar bagi manusia, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran aya-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (al-Israa’ : 82)

Memang kita sudah sedia maklum bahawa penyakit rohani manusia dapat dirawat dengan al-Quran jika diizinkan oleh Allah, tetapi ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa penyakit jasmani juga boleh dirawat dengan menggunakan ayat-ayat tertentu dari al-Quran dengan izin Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;” (asy-Syuaraa’ : 80)

Perkataan sakit yang disebutkan bukanlah hanya merujuk kepada penyakit rohani, tetapi termasuk juga penyakit jasmani. Namun perlu diingatkan bahawa kita hanyalah mampu berikhtiar, sedangkan hanya Allah jualah yang berkuasa memberi kesembuhan, jika tidak cepat, mungkin lambat, dan jika tidak sembuh, mungkin ada hikmah di sebaliknya yang harus kita teladani. Janganlah pula kita berputus asa dalam memohon kepada Allah, dan janganlah pula kita bersangka buruk dengan Allah, kerana ditimpa penyakit bermakna Allah sayang pada kita, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“tidaklah seseorang muslim ditimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis lain juga Nabi ada bersabda:
“tidaklah seorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, keresahan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya”. (Riwayat Bukhari).

Lihatlah betapa sayangnya Allah pada kita, walaupun kita merasa terseksa di dunia yang sementara ini, jika kita bersabar, maka insya-Allah akan dapat menyelamatkan kita dari terseksa di akhirat selamanya, itulah rahmat dan kasih sayang Allah yang ramai dari kita tidak menyedarinya.

Insya-Allah di kesempatan ini saya akan kongsikan beberapa doa dan ayat-ayat quran yang kebiasaannya digunakan untuk merawat penyakit jasmani, namun harus diingatkan bahawa kita hanyalah berdaya untuk berikhtiar, manakala hasilnya sama ada sembuh atau tidak adalah bergantung hanya kepada keizinan Allah SWT. Berikut adalah beberapa ayat dan doa untuk merawat penyakit jasmani:
1. Al-Fatihah (1x) :
2. Selawat ke atas Nabi (3x) :
3. Selawat Syifa’ (3x) :

4. Bismillah 5 (1x) :

5. 6 ayat Syifa’ (1x) :
    Surah al-Isra’ ayat 82

    Surah Yunus ayat 57

    Surah at-Taubah ayat 14

    Surah an-Nahl ayat 69

    Surah as-Syua’ara’ ayat 80

    Surah Fussilat ayat 44

6. Doa penyembuhan (1x) :

7. Doa Tawakkal (1x) :


Bacakan ayat-ayat ini mengikut bilangan bacaannya, kemudian tiupkan ke atas air sambil qasadkan (niatkan) dalam hati “Ya Allah, jadikanlah usahaku yang sedikit ini sebagai asbab kepada penyembuhan segala jenis penyakit rohani dan jasmaniku”, amalkan lah tiap-tiap hari pagi dan petang sebagai terjemahan kepada kesungguhan kita untuk memohon kesembuhan dari Allah SWT, semuanya dengan izin Allah yang Maha Esa.

*Sedikit fakta mengenai air, mengapa perlu dihembus kepada air? Beberapa orang pakar telah membuat kajian terhadap air, sebenarnya air boleh menyimpan memori atau daya ingatan, dan apabila air dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran, maka molekul air akan berubah dan auranya akan berseri, sebab itulah air yang terbaik di dunia ialah air zam-zam, kerana air zam-zam terletak di Makkah, dan di situ lah berjuta-juta manusia membacakan ayat al-Quran. Dan perlu diketahui juga, 70% badan kita adalah terdiri daripada air (cairan), maka jika air yang diminum tiap-tiap hari itu bagus dan baik, maka insya-Allah seluruh tubuh kita juga akan sihat, dan bayangkan sekiranya air yang kita minum tercemar atau air yang didedahkan kepada lagu-lagu yang tidak sihat, apa yang akan terjadi dengan tubuh kita? Wallahu a’laam..

No comments:

Post a Comment