Tuesday, December 16, 2014

Laluan Pintu Masuk Syaitan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada kaum kerabat baginda, serta para Sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita masih lagi diberi kesempatan bagi mencari dan mengumpul bekal untuk dibawa ke akhirat kelak, semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beroleh keuntungan di akhirat nanti, amin.
Ramai yang sudah sedia maklum bahawa musuh utama umat Islam adalah makhluk yang bernama syaitan, permusuhan ini telah bermula sejak dari penciptaan Nabi Adam a.s sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam firmanya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”. (al-Baqarah: ayat 34)

Keengganan Iblis untuk tunduk menghormati Nabi Adam adalah kerana sifat takabburnya, merasakan dirinya yang diciptakan dari api adalah lebih mulia dari Nabi Adam yang diciptakan dari tanah. Rentetan dari peristiwa tersebut, maka Iblis telah dikutuk dan dilabel sebagai kafir serta dijanjikan balasan neraka jahanam oleh Allah SWT, dan bermulalah permusuhan antara syaitan dengan bani Adam bahkan permusuhan ini berlanjutan sehinggalah ke hari kiamat, syaitan telah berjanji kepada Allah SWT untuk berusaha menyesatkan bani Adam agar dapat diheret bersama-sama ke neraka, kerana itu, janganlah kita menjadikan syaitan sebagai kawan, kerana tipu dayanya tidak lain hanyalah akan mengheret kita ke neraka, na’uzubillahi min zaalik. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”. (al-Fathir ayat 6)

Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dengan tipu daya syaitan, jerat tidak pernah melupakan pelanduk, tetapi pelanduk sering melupakan jerat, begitulah juga syaitan yang tidak pernah leka dalam menyesatkan manusia, sedangkan manusia sering leka dengan perancangan jahat Syaitan, kita hendaklah sentiasa berusaha menjauhi muslihat dan tipu dayanya dengan cara menutup pintu-pintu laluannya, ada beberapa pintu laluan yang dapat dimasuki oleh Syaitan dan membisikkan hasutannya ke dalam diri manusia, jika virus dapat menjangkiti sesebuah komputer disebabkan kerana kelemahan sistem komputer itu sendiri, maka begitulah juga syaitan dapat memasuki jiwa manusia disebabkan wujudnya kelemahan dalam jiwa manusia yang menjadi laluan masuk syaitan, antaranya ialah:

Sifat Pemarah.
Setiap manusia memang tidak akan sunyi dari perasaan marah, namun, sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita hendaklah bijak dalam mengawal marah agar ia tidak dijadikan peluang oleh syaitan untuk menghasut manusia, kita janganlah terlalu ikutkan perasaan marah sehingga kita bertindak di luar kawalan, janganlah hanya kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar. Apabila perasaan marah sudah mencapai tahap maksimum, maka ketika itu lah syaitan akan masuk ke dalam jiwa manusia, dan mengganggu sistem saraf manusia yang akhirnya menyebabkan manusia menjadi hilang pertimbangan, lalu bertindak di luar kawalan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya Syaitan mengalir dalam tubuh manusia pada peredaran darah”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Apabila Syaitan meresapi ke dalam jiwa manusia yang sedang marah, maka disebabkan itu lah kita akan mendengar berita di kaca tv atau di surat khabar tentang kes penderaan anak, Isteri atau suami, pergaduhan yang serius, pembunuhan, pertelingkahan yang melampaui batas dan sebagainya, ini lah kesannya apabila kita ditewaskan dengan sifat marah dan ditambah lagi dengan jarum hasutan Syaitan yang cuba mengambil kesempatan. Oleh yang demikian, Nabi telah mengajarkan kita cara untuk meredakan sifat marah ini iaitu dengan mengambil wuduk, dan berdoa atau berta’awwuz dengan lafaz “Aku berlindung kepada Allah dari Syaitan yang direjam”. Insya-Allah, mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan yang mampu menahan sabar, kerana sabar itu adalah sebahagian dari iman, dan hanya dengan iman lah kita dapat membentengi diri dari Syaitan.

Sifat malas.
Sifat malas akan menyebabkan manusia tidak istiqamah, dan tidak efisien dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan atau ibadah, dari sifat malas ini lah akan lahirnya sifat yang suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, lebih buruk lagi apabila suka bertangguh untuk melakukan taubat atas dosa yang dilakukan. Ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia disaluti dengan sifat malas, iaitu antaranya makan secara berlebihan, tidur berlebihan, dan sebagainya. Apabila kita merasakan malas untuk melakukan sesuatu terutamanya yang berkaitan dengan ibadah, maka ketika itulah syaitan akan sedaya upaya untuk melemahkan segala sistem saraf kita sehingga kita menjadi berat untuk bergerak, mata menjadi mengantuk dan sebagainya. Ini dapat dirasai ketika kita sedang mendengar khutbah atau kuliah, ketika khutbah disampaikan kelopak mata akan mula terasa berat seolah-olah ada benda berat yang digantungkan di kelopak mata kita.

Ada satu fakta sains yang sering diperkatakan iaitu, antara penyebab kita rasa mengantuk dan menguap adalah kerana otak kita kekurangan bekalan oksigen, persoalannya, mengapa oksigen menjadi kurang? Bukankah kuantiti nafas yang dihela ketika mendengar khutbah dengan ketika kita menonton televisyen adalah sama? Pada pandangan peribadi saya, ia ada kaitan dengan kerja Syaitan, ini kerana oksigen yang dibekalkan kepada otak adalah melalui aliran darah yang dipam ke saraf-saraf otak, dan bukankah syaitan itu dapat mengalir dalam saluran darah? Wallahu a’lam.

Lalai dan Leka.
Manusia pasti akan terlalai dan terleka sekurang-kurangnya dalam masa sesaat, Jika kita sentiasa lalai dan leka dari mengingati Allah, maka ia adalah jalan paling mudah bagi Syaitan memasuki tubuh manusia, dunia kita yang semakin maju dan serba canggih masa kini adalah faktor utama mengapa manusia mudah lalai dan leka, kita lihat sahaja, dengan kewujudan pelbagai gajet-gajet canggih, telefon pintar, ditambah pula dengan perisian-perisian yang menarik dan melekakan seperti media sosial, pelayar video, muzik dan sebagainya, akan menghanyutkan manusia ke lembah kelalaian dan kelekaan dan akan disambut oleh Syaitan.

Anak-anak muda masa kini khususnya adalah merupakan mangsa kepada gelombang arus kemodenan ini, jika zaman sebelum tahun 2000, golongan remaja hanya akan memperoleh telefon bimbit sesudah umurnya mencapai lingkungan belasan tahun, tetapi kini kanak-kanak seawal usia lima tahun sudah memiliki bukan telefon bimbit, akan tetapi telefon pintar dan komputer tablet! Dan adakah kita sudah bersedia dengan gelombang yang lebih dahsyat dalam tahun-tahun yang akan datang? Bukanlah kita hendak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi ini adalah sebagai cetusan kesedaran kepada umat Islam supaya tidak dilalaikan dan dilekakan oleh arus kemodenan.

Ketika manusia sedang diulit kelalaian dan kelekaan, maka pada masa itu lah Syaitan akan mula melaksanakan modus operandinya bagi menghasut manusia supaya terpalit dari mengingati Allah, sebagai contoh, ketika seseorang sedang leka bermain permainan video tidak kira sama ada melalui komputer atau gajetnya, kemudian azan berkumandang ketika dia sedang asyik dengan permainan video tersebut, di saat itulah Syaitan membisikkan ke dalam hatinya supaya meneruskan urusan permainan videonya itu sehingga tamat dan menyebabkan terlewat lah waktu solatnya. Lihatlah betapa halusnya serangan Syaitan terhadap bani Adam.

Iri Hati dan Hasad dengki.
Sifat Hasad dengki bermula dari terbitnya sifat iri hati, dari iri hati, maka ia bercambah menjadi hasad dengki, sifat hasad dengki ini akan menyebabkan timbulnya permusuhan sesama umat Islam, dan ini lah yang diharap-harapkan oleh golongan Syaitan bagi menimbulkan permusuhan, pertelingkahan, dendam dan sebagainya seterusnya memecahbelahkan persaudaraan sesama Islam, sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu mempunyai sifat iri hati dan hasad dengki, dari sifat itu lah Syaitan akan memasuki ke dalam jiwa manusia, seterusnya menghasut manusia yang bersifat hasad dengki tersebut untuk melakukan sesuatu agar ia merasa puas dengan apa yang dilakukannya itu, walhal sebenarnya dia tidaklah beroleh apa-apa kecuali hanya kepuasan yang sementara dengan disertai dosa.

Dari sifat ini jugalah timbulnya pelbagai kes sihir-menyihir, santau-menyantau dan sebagainya yang jelas merupakan suatu perbuatan syirik kepada Allah, permusuhan sebegini lah yang diharapkan oleh Syaitan, bukan sahaja dapat menimbulkan api permusuhan, bahkan juga dapat menyesatkan bani Adam dengan perbuatan syirik, maka di kala itu Syaitan bergembira melihat manusia bermusuhan sesama sendiri, dan jika dibiarkan, maka tidak akan bertemu kesudahannya, sama lah seperti dua ekor ayam jantan yang sedang bersabung, sedang tuan empunya ayam bersorak dan mengharapkan kemenangan ayam miliknya, dan jika ayam miliknya menang, maka bergembiralah tuannya atas kemenangan ayamnya tanpa sedikit pun dia merasai penderitaan ayamnya, lalu tuannya pulang dengan gembira bersama habuannya, sedang ayamnya menderita menanggung kesakitan.

Sebagai umat yang terbaik, kita haruslah pandai menggunakan kebijaksanaan dalam memanipulasikan sifat iri hati ke arah yang positif, sebagai contoh, kita iri hati dengan kewarakan dan kezuhudan seseorang ulamak, maka dengan sifat iri hati tersebut bukannya kita ingin menghalang supaya ulamak tersebut tidak lagi warak dan zuhud, tetapi kita menjadikan ia sebagai motivasi agar kita juga memiliki sifat warak dan zuhud tersebut, adapun sifat iri hati terhadap harta kekayaan atau kebendaan, maka sifat itu harus kita waspada, kerana ia merupakan salah satu jalan untuk dimasuki Syaitan.

Ujub, Riak dan Takabbur.
Ketiga-tiga sifat ini dapat disamakan dengan benih, tunas dan pokok, bermulanya pokok yang besar adalah bermula dari benih, maka dari benih ia membesar menjadi tunas pokok, dan daripada tunas ia menjadi pokok yang lebih besar, begitu juga dengan sifat takabbur, iaitu sifat yang menyebabkan Syaitan telah dilaknat oleh Allah dan telah ditempah tempat untuknya di neraka, ia bermula dengan sifat ujub, iaitu ketika Iblis dikenali sebagai Azazil, ketika itu Azazil adalah makhluk Allah yang paling kuat beribadah dan berzikir, sehinggakan apa sahaja yang diminta pasti dikabulkan oleh Allah, namun sedikit demi sedikit sifat ujub mula terbit dalam hati, setelah sekian lama ia disemai, lalu ia membarah dalam diri Azazil sehingga zahirnya sifat takabbur yang membuatkannya bongkak dan membangkang dengan perintah Allah. Sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Sifat ujub terlalu berbahaya, iaitu sifat yang merasakan dirinya hebat dari orang lain, tidak kira siapa pun dia, sama ada seorang ulamak, mahupun seorang buruh, sifat ujub ini pasti akan ada jauh di lubuk hati kita. Pernah diceritakan, seorang sheikh terkenal, ketika memberi satu kuliah agama di masjid, dan kuliahnya dihadiri oleh beribu-ribu pendengar, menyebabkan terdetik seketika dalam hatinya yang mengatakan dirinya hebat, kerana ramainya orang yang datang mendengar, selepas habis kuliah, ketika dalam perjalanan pulang, sheikh tersebut meminta supaya pemandunya memberhentikan keretanya di sebuah masjid, lalu sheikh tersebut mencuci tandas di masjid tersebut, apabila ditanya, mengapa sheikh tersebut melakukan sedemikian? Maka sheikh memberitahu bahawa ketika dia memberi kuliah, terdetik dalam hatinya bahawa dirinya hebat, maka kerana itu dia rasa bersalah lalu menghinakan dirinya dengan mencuci tandas, begitulah betapa halusnya sifat ujub yang muncul dalam diri walaupun seorang ulamak, inikan pula kita sebagai manusia biasa.

Bermula dengan sifat ujub inilah Syaitan akan memasuki tubuh manusia, dan menyemai sifat tersebut sehinggalah menjadi sifat takabbur, untuk dia sama-sama mengheret pengikutnya ke neraka, na’uzubillahi min zaalik. Firman Allah SWT:

“..sebenarnya dia (syaitan) hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”. (al-Fathir ayat 6)

Sifat Dusta.
Sifat suka berdusta dan menabur tipu daya sememangnya adalah perangai Syaitan, firman Allah SWT:
“Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.” (an-Nisaa’ : 120)

Oleh itu, sesiapa yang menghiasi diri dengan sifat pendusta, maka seolah-olah dia telah membuka pintu bagi mengalu-alukan kehadiran syaitan di dalam dirinya.

Sentiasalah kita berusaha untuk membentengi diri dari hasutan dan tipu daya Syaitan, dengan cara menutup pintu-pintu laluan masuk mereka ke dalam diri kita, jauhi lah sifat-sifat yang menyebabkan mudahnya Syaitan memasuki dalam tubuh kita seterusnya menghasut manusia sehingga diheret ke neraka jahanam, na’uzubillahi min zaalik. Adapun pintu-pintu laluan yang disebutkan di atas hanyalah beberapa sahaja yang mampu ditulis dalam ruangan yang terbatas ini, dan mungkin terdapat lagi laluan-laluan lain yang di luar pengetahuan saya, wallahu a’lam..



No comments:

Post a Comment