Sunday, January 25, 2015

Tips memperolehi minda yang cerdas, dan akal yang sihat.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada kaum kerabat baginda, serta para Sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita masih lagi diberi kesempatan bagi mencari dan mengumpul bekal untuk dibawa ke akhirat kelak, semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beroleh keuntungan di akhirat nanti, amin. 


Setiap manusia yang normal pasti ingin memiliki minda yang cerdas dan akal yang sihat bagi menjalani hidup ini, tidak kira siapa pun anda, sama ada anda seorang pelajar, guru, ahli perniagaan, mahupun buruh, memiliki minda yang cerdas dan akal yang sihat adalah suatu elemen penting dalam mencapai kejayaan, insya-Allah untuk entri kali ini saya akan berkongsi beberapa tips bagi mencerdaskan minda dan menyihatkan akal. 

Berikut adalah beberapa cara atau tips bagi mencerdaskan minda, walau bagaimanapun, sebenarnya terdapat banyak lagi tips, namun, apakan daya, hanya ini sahaja yang mampu saya kongsikan buat masa ini.

Makan kismis 
Memang semua sudah maklum bahawa kismis dapat membantu mencerdaskan minda, bukan itu sahaja, malah ia dapat menjana minda untuk memudahkan hafalan, kebiasaannya kismis dimakan sebanyak 7 biji pada waktu pagi iaitu sebelum sarapan, bagi mereka yang menghafal al-Quran pula adalah disarankan untuk makan 21 biji sebelum sarapan. Amalkan memakan kismis tiap-tiap hari, insya-Allah, otak kita akan cerdas dengan izin Allah SWT. 

Kerap minum air 
Otak yang cerdas memerlukan bekalan oksigen yang mencukupi, bekalan oksigen dibawa ke otak melalui pembuluh darah, oksigen dalam darah pula diserap melalui air yang diminum serta dari proses respirasi yang diserap dalam peparu, maka dengan meminum air secara kerap, akan mencukupkan bekalan oksigen ke otak supaya otak dapat beraksi dengan cerdas. Sekiranya mampu, amalkan lah meminum air zam zam tiap-tiap hari, namun air zam zam sukar diperoleh, dan mungkin harganya mahal di Malaysia, boleh juga kita minum air mineral semula jadi, lebih bagus sekiranya air yang sudah dibacakan ayat-ayat Quran. 

Kerap membaca al-Quran 
Ketika seseorang membaca al-Quran, otaknya pada ketika itu sedang berfungsi dengan secara pantas, kerana dengan membaca ayat-ayat Quran, otak manusia perlu cekap memperhatikan setiap huruf dan ayat yang dibaca, dari segi makhraj nya, barisnya, panjang pendeknya, serta kawalan nafas juga harus dikawal, ini menjadikan otak sentiasa terlatih untuk bertindak secara cekap, dan sekiranya berlaku kesilapan bacaan, maka dengan cepat kita akan mengulang ayat yang dibaca. 

Kerap bersugi/ gosok gigi 
Tips ini antara yang saya ambil dari tips yang disarankan oleh al-Imam al-Ghazali, iaitu kerap bersugi atau kerap memberus gigi, seelok-eloknya kita memberus gigi lima kali sehari iaitu setiap sebelum menunaikan solat fardu, sekiranya mampu, amalkan setiap kali sebelum anda ingin melakukan aktiviti yang memerlukan komitmen otak yang tinggi, seperti mengulangkaji pelajaran, menghafaz al-Quran dan sebagainya. 

Bersenam/ beriadah 
Kita selalu dengar ungkapan arab yang bermaksud, al-Aqlus Salim, min Jismis Salim, iaitu, akal yang cerdas, dari badan yang cergas, beriadah adalah amalan yang penting, sekurang-kurangnya amalkan riadah tiga kali seminggu, iaitu setiap sesi hanya dalam 30 minit, dengan beriadah akan menyebabkan peredaran darah dalam badan kita menjadi lancar, seterusnya otak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi. 

Memakai wangi-wangian 
Memakai wangi-wangian adalah sunah bagi lelaki, manakala bagi wanita pula jangan terlalu wangi sehingga baunya boleh dihidu oleh orang lain, seelok-eloknya wanita berwangi-wangian di rumah, bauan yang wangi akan menjadikan jiwa kita tenang, terasa aman, bahkan akan menyihatkan akal kita, pilih lah bau wangian yang apabila anda hidu akan menjadikan diri anda tenang, hidu dalam-dalam, pejam mata, dan bayangkan anda berada di suatu tempat yang amat menenangkan fikiran. 

Banyak membaca 
Perbanyakan amalan membaca, tidak kira apa jua jenis bahan bacaan yang anda baca, sama ada surat khabar, majalah, novel, artikel, buku ilmiah, buku sekolah dan sebagainya, yang paling penting jangan lupa baca Quran. Dengan banyak membaca, otak anda akan sentiasa berfungsi dan akan sentiasa berfikir mengenai apa yang anda baca. Wallahu a’lam. 

Insya-Allah, dengan mengamalkan kesemua tips di atas, anda akan beroleh minda yang cerdas, serta akal yang sihat. Mungkin di luar sana terdapat banyak lagi tips-tips yang belum saya kongsikan bagi memperoleh minda yang cerdas serta akal yang sihat, maka itu adalah tugas anda untuk mengumpulkannya, semoga dengan tips yang sedikit dapat memberikan manfaat kepada kita semua, seterusnya dapat kita melahirkan generasi yang sehebat ulamak-ulamak terdahulu, sekian.. 

Doa Penerang Hati dan Mohon Petunjuk:
Amalankan tiap-tiap hari selepas solat subuh dan maghrib.

No comments:

Post a Comment