Sunday, January 25, 2015

Rencah Membina Generasi Hebat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpahan kurnia dan kasih sayang-Nya kita masih lagi diberikan nikmat Iman dan Islam, segala puji bagi Allah, tuhan yang telah menciptakan sekalian alam, dan yang menguasai hari pembalasan, Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, kaum kerabat baginda, serta para Sahabat radiallahu ajma’in. semoga kita sentiasa diberi ketetapan iman, dan seterusnya semoga kita dimatikan dalam keadaan beriman. Amin insya-Allah.

Di dalam lipatan sejarah Islam, kita telah menyaksikan lahirnya ramai tokoh-tokoh dan ulamak-ulamak yang hebat dari segi ilmunya, prinsipnya, ketaqwaannya, keperibadiannya serta kegigihan dalam menegakkan syiar Islam di atas muka bumi. Sudah pasti di sebalik seorang insan yang hebat, terdapat pencetus-pencetus yang hebat, begitulah juga di sebalik kereta Ferrari yang hebat, terdapat mekanik dan jurutera yang hebat, di sebalik bangunan menara Burj Dubai yang hebat, terdapat arkitek yang hebat.

Pada bulan September 2014 yang lalu saya telah diizinkan oleh Allah SWT untuk menghadiri satu seminar yang membicarakan tentang pemikiran seorang ulamak yang tidak asing lagi iaitu Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Kehebatan ulamak ini memang tidak dapat disangkal lagi sehinggakan mufti Mesir, Sheikh Ali Jum’ah menyatakan bahawa ulamak kontemporari yang layak dipanggil ulamak mujtahid hanya dua orang sahaja, iaitu Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan juga Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, dan sudah pasti lahirnya ulamak yang hebat ini hasil dari ramuan beberapa elemen.

Di dalam seminar tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Sahibus Samahah Syeikh Dr. Zulkifli M. al-Bakri dalam ucaptamanya ada menggariskan bahawa terdapat 4 elemen penting yang menjadi rencah sehingga lahirnya seorang ulamak yang hebat, insya-Allah saya akan huraikan satu persatu.

Pertama ialah ibu bapa, jika kita melihat dan meneliti latar hidup insan-insan yang hebat, pasti lahir dari ibu bapa yang hebat. Walaupun kita biasa dengar bahawa iman itu tidak dapat diwarisi, memang benar tidak dapat diwarisi, tetapi ia boleh disemai, dan ibu bapa lah yang bertanggungjawab menyemai benih iman kepada anak-anaknya sejak dari kecil lagi. Ini kerana pendidikan pertama anak-anak adalah dari didikan ibu bapa sama ada didikan yang secara langsung mahupun tidak langsung, keteguhan iman dan ketinggian taqwa ibu bapa akan menjadi inspirasi kepada anak-anak untuk menjadi sebagaimana mereka.

Dalam mendidik anak-anak, Ketegasan dalam memastikan anak-anak agar sentiasa berada di atas landasan iman yang betul adalah sangat diperlukan, kita lihat bagaimana ayah kepada Sultan Muhammad al-Fateh, iaitu Sultan Murad mendidik anaknya dengan begitu tegas sekali, sehinggakan ayahnya menyediakan kayu rotan kepada guru anaknya untuk merotan anaknya jika melakukan kesalahan, sangat berbeza dengan ibu bapa masa kini yang terlalu memanjakan anak secara melampaui batas sehingga hilang rasa hormat anak-anak terhadap ibu bapa, bahkan ibu bapa menjadi pembela kepada anaknya yang melakukan kesalahan jika dihukum oleh guru.

Elemen kedua pula ialah guru-guru yang hebat, untuk menjadi seorang insan yang hebat, kita haruslah mencari guru-guru yang hebat. Dalam berguru, tidak semestinya kita harus betapa berbulan-bulan untuk melayakkan kita bergelar anak murid kepada seorang guru, akan tetapi cukup walaupun hanya sekadar satu ilmu yang kita peroleh darinya. Insan yang hebat akan mencari seorang guru yang hebat walau apa jua rintangan dan cabaran yang dihadapi, kesungguhan dan semangat haruslah ditonjolkan dalam mencari guru, sebagaimana kisah pencarian guru oleh seorang ulamak yang terkenal iaitu al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah, beliau bukanlah lahir dari kalangan keluarga yang berada, namun berkat kesungguhannya dalam mencari ilmu dan guru, beliau mengembara berkelana dan akhirnya dipertemukan dengan seorang ulamak yang terkenal iaitu Imam Malik rahimahullah.

Elemen ketiga pula ialah rakan-rakan yang hebat, dalam berkawan, kita perlu bijak menilai yang mana kaca, yang mana intan, yang mana gula, yang mana garam, dalam erti kata lain, kita harus bijak memilih kawan, ini kerana ada setengah kawan yang mampu membimbing kita ke arah ketaqwaan, namun ada juga kawan yang mengheret kita ke lembah kehinaan, antara ciri-ciri kawan yang boleh membimbing kita menuju ketaqwaan ialah mempunyai akhlak yang baik, tidak suka berbual tentang perkara yang tidak berfaedah, apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, sering memperingatkan orang lain tentang kebaikan, sering hadir ke majlis-majlis ilmu dan sebagainya.

Dalam perjalanan kehidupan kita, ramai kawan yang akan kita ketemui, dan pastinya pelbagai ragam kawan yang bakal kita hadapi, ada kawan yang makan kawan, ada juga kawan yang bertukar menjadi lawan, ada kawan yang suka tikam belakang, ada juga kawan yang suka menyemarakkan api permusuhan, sebab itu kita jangan tersalah pilih kawan.

Seterusnya elemen keempat pula ialah perlunya ada suasana bi’ah solehah, iaitu suasana persekitaran yang mampu mendidik kita ke arah menjadi seorang yang beriman dan bertaqwa, elemen ini boleh dikatakan sebagai gabungan dari ketiga-tiga elemen di atas, kerana ketiga-tiga elemen tersebut ialah apa yang berada di sekeliling kita. Apabila adanya suasana bi’ah solehah dalam hidup kita, insya-Allah, ia dapat membentuk jiwa dan tingkah laku kita ke arah kehidupan yang lebih bertaqwa.

Sebagai contoh, dalam suasana sebuah keluarga, jika penjagaan solat dan penutupan aurat amat ditekankan, maka sudah pasti akan terhasil ahli-ahli keluarga yang sangat menitik beratkan tentang solat dan aurat. Begitu juga sekiranya sesebuah keluarga menekankan aspek menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan ahli-ahli keluarganya, maka, akan terhasil lah insan-insan yang cintakan ilmu dan sentiasa mencari ilmu.

Kesimpulannya, dengan hasil ramuan keempat-empat elemen ini, maka dengan izin yang Maha Esa, kita dapat melahirkan individu-individu yang mampu berjasa dan memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment