Sunday, August 31, 2014

Harapan Sebuah Kemerdekaan

Apabila tiba tarikh 31 ogos, maka laungan keramat kemerdekaan akan bergema di seluruh negara kita, jalur gemilang juga dikibar dengan megahnya menzahirkan rasa cinta kepada negara dan rasa syukur kerana bumi Malaysia tidak lagi dijajah oleh bangsa asing. Kita seharusnya menghargai pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu yang bermandi darah, bermati-matian mempertahankan agama, tanahair dan bangsa daripada cengkaman kuasa asing, dengan keringat perjuangan mereka serta izin daripada Allah SWT, maka negara kita kini mampu berdiri megah di mata dunia.

Namun, kita perlu sedar, secara zahirnya memang tidak dinafikan bahawa negara kita sudah bebas dari cengkaman penjajah, akan tetapi adakah kita benar-benar bebas dari pengaruh Barat? Lebih-lebih lagi jika kita teliti dari sudut jiwa dan pemikiran kita. Mungkin ramai yang tidak menyedari akan hakikat ini dan menganggap ianya perkara biasa bagi kita yang sedang menongkah arus globalisasi dan modenisasi ini, memang benar bahawa kita tidak dapat melawan arus globalisasi dan modenisasi yang sedang melanda kita pada hari ini, namun itu tidak menjadi alasan untuk kita terus hanyut dibawa arus tanpa pegangan yang utuh.

Jika kita meneliti sejarah perjuangan penentangan penjajah di Alam Melayu, kebanyakan pejuang adalah dari kalangan para ulama dan tok-tok guru, seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya, ini menunjukkan bahawa mereka dari awal lagi sedar bahawa kehadiran penjajah di Alam Melayu ini bukan sahaja kerana hasil buminya yang kaya, akan tetapi tersirat di sebalik matlamat itu adalah bagi menyebarkan fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan merosakkan anak bangsa. Kita tidak boleh melupakan jasa pahlawan terdahulu, kerana ianya bukan sekadar kisah silam atau hikayat-hikayat penglipur lara, akan tetapi ianya merupakan mesej yang amat bernilai untuk generasi-generasi selepasnya, tapi sayang, masyarakat kini tidak melihat sejarah sebagai sebuah pengajaran.

Apabila Barat menyedari bahawa usahanya untuk menguasai Tanah Melayu menemui jalan buntu kerana semangat perjuangan bangsa Melayu bukan calang-calang, maka mereka harus memikirkan serangan yang lebih halus, iaitulah serangan pemikiran. Mereka merasakan serangan pemikiran atau disebut juga sebagai perang saraf lebih berkesan setelah mereka berjaya meruntuhkan kerajaan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924 hanya dengan menyuntik racun pemikiran Sekularisme ke dalam jiwa dan pemikiran umat Islam di Turki, ianya tampak halus, namun berbisa.

Jika dengan serangan ketenteraan, umat Islam akan bersatu mengerah tenaga menentangnya, namun jika dengan serangan pemikiran, maka boleh jadi kerajaan Islam ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri yang beragama Islam setelah diracuni pemikirannya, sebagaimana yang telah berlaku kepada Turki Uthmaniyah yang ditumbangkan oleh Mustafa Kamal Attartuk iaitu pejuang Sekularisme di Turki, inilah bahana serangan pemikiran yang dilancarkan oleh Barat, walaubagaimanapun umat Islam masa kini masih lagi lena dalam tidur diulit mimpi yang indah, sedangkan musuh Islam sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan Islam.

Lihat sahaja di negara kita Malaysia, berapa ramai anak-anak muda terjebak dengan gejala-gejala dan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, hiburan melampau, seks bebas, pesta liar, merempit, penyalahgunaan dadah dan sebagainya, ini menunjukkan bahawa sebenarnya kita belum lagi merdeka dari sudut jiwa dan pemikiran walaupun zahirnya kita telah bebas dari penjajah, kita perlu sedar, golongan remaja inilah yang akan kita tinggalkan sebagai pewaris kita pada masa hadapan.

Tanggungjawab bagi membentuk pewaris pimpinan negara ini tidaklah tertanggung ke atas bahu guru dan ibubapa sahaja, akan tetapi ia adalah tanggungjawab umat Islam seluruhnya, kita harus bersama-sama memastikan agar generasi pelapis kita tidak tewas dengan arus serangan pemikiran yang membawa kepada keruntuhan ahklak, namun, kita juga harus waspada, dalam memastikan generasi kita tidak diracuni pemikirannya, kita juga harus terlebih dahulu memastikan diri kita tidak termakan racun-racun pemikiran Barat agar pembentukan generasi yang diidamkan dapat direalisasikan, janganlah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, kerana bagaimana acuannya, begitulah kuihnya.

            Artikel ini ditulis bukanlah bertujuan untuk menuding kepada mana-mana pihak, jika kita lihat kisah Nabi Yunus a.s yang telah dicampakkan oleh kaumnya ke laut, lalu ditelan oleh ikan paus, dalam keadaan bersendirian di dalam perut ikan tersebut, Nabi Yunus a.s tidak pula menyalahkan kaumnya, akan tetapi menyalahkan dirinya sendiri dengan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT dengan lafaz, “Laa ilaaha illa anta, subhaanaka, inni kuntu mina dzalimin”, artikel ini ditulis adalah bertujuan bagi membuka mata hati kita semua supaya kita dapat bangun dari tidur yang lena, seterusnya membebaskan diri, jiwa serta pemikiran kita dari anasir-anasir yang merosakkan, barulah kita dapat merasai betapa bernilainya laungan keramat “Merdeka!”. Wallahu a’lam..

Oleh: M.Khairussyafiq Masran

Jika ada sebarang pertanyaan, kemusykilan, cadangan @ kritikan, sila tulis di bahagian komen atau email ke alamat khairussyafiq@gmail.com

No comments:

Post a Comment