Tuesday, April 22, 2014

Sekularisme: Barah bagi umat Islam

Assalamualikum wrh wbr... Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ilahi atas limpahan kurnia dan inayah-Nya kita masih lagi diberi peluang untuk bertaubat bagi merangkul pengampunan dari Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum kerabat baginda, para Sahabat r.a, para tabi'in , tabi' tabi'in serta seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.


Mungkin sahabat-sahabat sekalian pernah mendengar istilah Sekularisme, mungkin ada yang sudah sedia maklum mengenai apa itu sekularisme, dan mungkin juga ada yang pernah mendengar istilah tersebut namun masih belum mengetahui apakah hakikat disebalik sekularisme. InsyaAllah saya akan kongsikan sedikit apa itu sekularisme.

Sejarah Ringkas Sekularisme
Secara umumnya, sekularisme adalah satu ideologi atau fahaman yang menjadikan pemisahan agama dari urusan kehidupan seharian sebagai satu cara hidup, fahaman ini mula tersebar di eropah selepas eropah mencapai zaman pencerahan (renaissance), jika kita lihat sejarah sebelum zaman renaissance, eropah berada di zaman kegelapan, gereja mempunyai kuasa mutlak dalam semua perkara, dan sesiapa yang menentang apa yang dibawa oleh gereja akan ditangkap dan dibunuh, disebabkan itu, berlakunya konflik antara pihak gereja dengan para saintis apabila para saintis menghasilkan banyak penemuan yang bertentangan dengan pihak gereja yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beramai-ramai para saintis oleh pihak gereja.

Ketegangan ini akhirnya membawa eropah untuk melangkah ke arah zaman pencerahan dan bermulanya sintom-sintom barah sekularisme apabila eropah mendapat pengajaran dari zaman gelapnya, mereka sudah mula membebaskan diri dari keterikatan dengan agama dan hanya menggunakan agama untuk upacara-upacara keagamaan.

Sekularisme dan Islam
Bagi eropah, renaissance adalah zaman kegemilangan bagi mereka, namun bagi umat Islam, ia adalah permulaan sintom penyakit merbahaya yang membarah sehingga ke hari ini. Ramai yang tidak sedar bahawa ideologi sekularisme ini sedang merebak dalam kalangan umat Islam, mungkin kerana individu yang dijangkiti ideologi ini pada zahirnya Islam, namun hakikat kehidupan sebenarnya tidak berlandaskan Islam, ini menyebabkan ramai umat Islam yang memandang enteng mengenai penularan ideologi ini.

Sebenarnya sekularisme adalah sesuatu yang cukup merbahaya bagi umat Islam, ia umpama duri dalam daging, juga musuh dalam selimut, jika ideologi ini menebal dalam jiwa umat Islam tidak kira golongan pemerintah ataupun rakyat, dan menjadi barah yang semakin kritikal, ia bukan sahaja akan mengikis nilai-nilai Islam dalam jiwa seorang muslim, malah lebih parah lagi akan menentang habis-habisan golongan yang ingin menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini.

Ini dapat dilihat sewaktu kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada 1924M yang merupakan pusat kekuasaan Islam sejak berabad lamanya, akan tetapi telah ditumbangkan oleh orang Islam sendiri yang telah diracuni ideologi sekularisme dengan bantuan kuasa barat iaitu Mustafa Kamal Attartuk, Kamal Attartuk merupakan tokoh yang disanjung-sanjung oleh golongan sekularis kerana kononya telah membawa perubahan kepada pemerintahan Turki pada ketika itu, namun realitinya, perubahan yang dilakukan bukanlah ke arah yang lebih baik.

Kamal Attartuk dilantik oleh barat menjadi presiden pertama negara republik Turki, segala tingkah laku dan gerak kerjanya sepanjang memerintah negara Turki seolah-olah menyimpan dendam terhadap Islam, azan di masjid-masjid diarahkan agar dilaungkan dalam bahasa Turki, wanita diharamkan memakai tudung ketika berurusan secara rasmi di bangunan-bangunan kerajaan, sistem pendidikan Islam dihakis dan digantikan dengan sistem pendidikan barat dan sebagainya, inilah bahana ideologi sekularisme yang kian membarah.


Benih Sekularisme yang Disemai
Mungkin ramai yang tidak sedar, bahawa benih-benih sekularisme telahpun disemai di merata dunia, agenda penyemaian ini dijayakan dengan jentera kolonialisme negara kuasa besar dunia terhadap negara lain, kita diajar dalam mata pelajaran sejarah sewaktu di bangku sekolah bahawa penjajahan barat terhadap negara-negara lain adalah kerana ketamakkan orang barat untuk mengaut hasil bumi negara lain bagi merealisasikan impian kemajuan mereka, namun hakikatnya bukan itu sahaja, ia sebenarnya mempunyai suatu agenda perencanaan jangka masa panjang yang begitu halus. Sesebuah negara tidak akan dimerdekakan selagi benih sekularisme tidak disemai, ini supaya apabila mereka (orang barat) sudah berundur, masih akan ada yang berjuang meneruskan agenda mereka. Mereka melantik golongan-golongan elit yang telah mereka latih (secara tidak langsung) bagi memimpin negara yang telah mereka jajah, atau kita sebut sebagai menjajah di tanah air  sendiri, begitulah seterusnya generasi demi generasi sekularis diasuh dan diberi kuasa memerintah sehinggalah ke hari ini.

Ini merupakan penghalang kepada usaha mendirikan sebuah negara Islam, bagi mendirikan sebuah negara Islam, haruslah bermula dalam diri seorang muslim, setiap muslim hendaklah berpegang teguh dengan syariat Islam, melaksanakan Islam dalam segenap sudut kehidupan, bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah, barulah boleh tertegaknya sebuah negara Islam yang didukung oleh rakyatnya yang berjiwa muslim, namun jika rakyatnya masing-masing dijangkiti sekularisme, maka pembentukan sebuah negara Islam yang rakyatnya berjiwa sekular tidak akan terlaksana, bahkan mungkin akan mendapat tentangan dari rakyatnya sendiri.

Kehalusan Jarum Sekularisme
Majoriti masyarakat masa kini tidak menyedari bahawa dirinya sudah terjebak dengan sekularisme, mari kita muhasabah kembali diri kita sama ada kita masih dilandasan yang benar atau yang salah, bagaimana mengenalpasti sama ada kita berfahaman sekularisme atau tidak? Cuba kita semak setiap amalan kita seharian, adakah kita mengamalkan Islam hanya ketika solat, puasa, kahwin, haji & umrah? Bagaimana pula dengan urusan perniagaan, perbankan, pemakaian, pergaulan dan sebagainya, adakah masih dilaksanakan atas landasan Islam? Jika bergelar seorang muslim, maka tidak boleh tidak, kita kena mempraktikkan Islam secara keseluruhan, bermula dari bangun tidur, sehinggalah akhir hayat kita. Setiap urusan kehidupan hendaklah tidak lari dari landasan syariat Islam, sebagai contoh dalam urusan perniagaan, kita diharamkan untuk memakan harta riba’, oleh itu, kita wajiblah memastikan urusan perniagaan yang kita lakukan terhindar dari riba’, begitulah juga dengan urusan kehidupan yang lain.

Jika kita tidak menjadikan Islam sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita, inilah yang dikatakan memisahkan agama dari kehidupan, hanya mempraktikkan Islam dalam upacara-upacara tertentu.

Cara Menghindarkan Diri dari Sekularisme
Setiap manusia inginkan yang terbaik dan beroleh kebahagian dalam kehidupan di dunia serta di akhirat, setiap manusia juga ingin menyelamatkan diri dari lembah kesesatan di dunia yang akhirnya membawa kepada penyesalan di akhirat kelak, oleh yang demikian itu, marilah sama-sama kita hayati sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.). (Riwayat Imam Malik).
Rasulullah SAW telah mewariskan kepada kita umat akhir zaman al-Quran dan as-Sunnah, untuk beroleh keselamatan di dunia serta di akhirat, kita hendaklah berpegang teguh kepada keduanya agar kita tidak mudah dihanyutkan oleh gelombang kesesatan yang sedang melanda umat pada masa kini.

Penutup
Marilah kita sama-sama menghakis fahaman sekularisme dalam diri kita, keluarga dan masyarakat, agar ia tidak menjadi barah yang semakin kritikal, tidak rugi jika kita mengamalkan Islam dalam segenap sudut kehidupan kita, cuba kita nilai kembali, adakah kita ini benar-benar muslim sejati, atau Islam hanya di kad pengenalan, artikel ini ditulis bukanlah untuk menuding mana-mana pihak, tetapi sebagai peringatan kita bersama juga peringatan buat diri ini, sekian wassalam..
Oleh: Muhd Khairussyafiq Bin Masran

No comments:

Post a Comment