Sunday, January 19, 2014

Menjadi Mahasiswa Berkualiti

Assalamualaikum wrh wbr.... Alhamdulillah... bersyukur kehadrat ilahi atas limpahan kurnia-Nya, kita masih lagi diberi nikmat iman dan Islam... selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat baginda, serta para sahabat r.a. InsyaAllah entri pada kali ini membicarakan mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Mungkin ada dikalangan pembaca entri ini seorang yang bergelar mahasiswa, atau mungkin juga bukan seorang mahasiswa, akan tetapi ada kaitannya dengan seorang mahasiswa, mungkin anak, adik, kakak atau mungkin juga suami atau istrinya bergelar mahasiswa/wi. Di dalam entri ini juga insyaAllah saya akan nyatakan peranan sebagai seorang mahasiswa, tujuan/matlamat mahasiswa, dan apa sebenarnya yang perlu dilakukan oleh mahasiswa di dalam kampus.

Perbincangan ini mungkin sebenarnya memerlukan satu lembaran dan penulisan yang panjang lebar, namun saya akan cuba meringkaskan sedaya yang termampu supaya ia tidaklah menjadi bahan bacaan yang mendatangkan rasa mengantuk dan bosan.

Saudara/ri sekalian, siapakah yang disebut sebagai mahasiswa? secara umumnya, mahasiswa adalah mereka yang bergelar pelajar di mana-mana IPTA @ IPTS di mana-mana negara, ia tidak terhad kepada mana-mana had umur. kehidupan sebagai seorang mahasiswa adalah terdedah kepada peluang-peluang ilmu disekitarnya samaada secara langsung mahupun tidak langsung, ini menjadikan mahasiswa matang dalam menilai sesuatu perkara.

Apakah peranan sebenar sebagai seorang mahasiswa? adakah peranan mahasiswa hanya sekadar menjalani rutin pergi kelas, pergi ke kafe dan balik ke bilik setiap hari? apabila kita sebut mahasiswa, maka ia tidak lari sebagai seorang pelajar, secara umunya peranan sebagai seorang pelajar ialah menuntut ilmu, namun hakikat sebenarnya peranan sebagai seorang mahasiswa amat besar. Mahasiswa haruslah bijak menggunakan peluang di sekelilingnya bagi menimba ilmu, suasana di kampus dikelilingi dengan medan ilmu yang begitu luas sebenarnya, ilmu di kampus bukan sahaja boleh diperolehi melalui kuliah harian, ia juga boleh didapati pada program-program yang dianjurkan, atau menjadi penganjur kepada sesebuah program, boleh juga berjumpa dengan pensyarah di luar kuliah dan sebagainya. Menuntut ilmu dengan menjadi penganjur program? ya, apabila menjadi penganjur sesuatu program atau menjadi barisan jawatankuasa kelab atau persatuan, secara tidak langsung sebenarnya kita beroleh pengalaman, dan pengalaman itulah ilmu yang sukar didapati. Akan tetapi mengapa kebanyakan mahasiswa takut untuk memegang jawatan? memegang jawatan bukan bertujuan untuk menunjukkan kebolehan kita dalam mentadbir @ mengurus, ada setengah mahasiswa takut untuk bergiat dalam persatuan kerana takut dicop sebagai gila jawatan, namun apabila kita berfikir sejenak, adakah kita akan rugi jika dicop gila jawatan disebabkan kita bergiat dalam persatuan? bahkan kita beroleh pengalaman yang amat berharga, tiada istilah rugi.

Namun kita perlu sedar, bahawa memegang jawatan dalam persatuan bukanlah bertujuan untuk berbangga-bangga atau bermegah-megah, jika kita ikhlas untuk menyumbangkan masa, idea, tenaga dan harta untuk mendapatkan redha Allah, maka insyaAllah ia akan dikira sebagai ibadah dan beroleh ganjaran dariNya.

Tanggungjawab mahasiswa adalah menimba sebanyak mungkin ilmu di kampus mahupun di luar kampus untuk dibawa pulang ke kampung masing-masing, satu analogi yang boleh dibuat disini ialah, andaikan kampung kita dilanda kemarau, lalu orang kampung menghantar pemuda yang bertenaga untuk pergi cari air di kawasan-kawasan yang mempunyai air, dan membawa pulang ke kampung untuk dimanfaatkan oleh orang kampung yang memerlukan air. Begitulah gambaran peranan seorang mahasiswa, masuk ke universiti menimba ilmu kemudian curahkan ilmu yang ditimba ke penduduk kampung, dengan matlamat membangunkan minda dan pemikiran penduduk kampung. Disebabkan itulah orang kampung pada zaman dahulu cukup gembira apabila ada salah seorang pemuda kampungnya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, besar peranan bukan? Sabda Nabi SAW mafhumnya:

"Sampaikan dariku walau sepotong ayat.."
(Riwayat al-Bukhari, Tirmidhi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Allah SWT juga melarang hambaNya menyembunyikan ilmu atau kebenaran yang dikurniakan keatas kita dalam firmanNya yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan sesuatu yang Kami telah turunkan iaitu dari ayat-ayat yang jelas dan hidayat setelah kami terangkan kepada manusia di dalam kitab suci, merekalah orang-orang yang dilaknatkan Allah dan dilaknatkan oleh sekalian pelaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengislahkan diri mereka dan menjelaskan yang benar, maka untuk mereka Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih."
(Al-Baqarah: 159-160)

Sesetengah mahasiswa sering merungut di kampus apabila diberi assignment yang banyak, kerja yang bertimbun-timbun, dan apabila duduk di dalam persatuan , kita diarahkan buat surat, kertas kerja, itu dan ini sehingga menjadikan kita lebih sibuk dari seorang YB, akan tetapi itu semua tak lain hanyalah pengalaman yang berharga buat kita, sekurang-kurangnya setelah bergraduat, kita sudah punyai pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya untuk kita menempuh dunia pekerjaan.

Oleh kerana mahasiswa adalah orang yang berpeluang bagi menimba ilmu pada tahap yang lebih tinggi, maka mahasiswa haruslah berkongsikan ilmu yang diperolehi kepada mereka yang tidak berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat yang tinggi. Jadilah seperti pohon yang rimbun, kerana dibawah pohon yang rimbun itu terdapat tempat teduhan yang boleh diambil manfaat oleh orang lain, dan jadilah pohon yang berbuah agar buah-buahannya dapat mengisi perut makhluk lainnya, jadilah manusia yang berguna agar kita dapat menyumbang bakti kepada masyarakat sekitar kita, namun bergraduat bukanlah bermakna tamat sudah proses menimba ilmu kita, janganlah sia-siakan kecerdasan otak yang telah kita train sepanjang sesi pengajian, teruskan menimba ilmu dengan pelbagai cara seperti membaca, hadir seminar dan sebagainya, semoga nukilan ini menjadi inspirasi kepada semua terutama kepada mahasiswa-mahasiswa yang sedang gigih menimba ilmu di IPT masing-masing.

Oleh: Muhd Khairussyafiq Masran

No comments:

Post a Comment