Tuesday, November 19, 2013

Hikmah Keterbatasan Akal Manusia

Assalamualikum wrb wbh.... Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum kerabat baginda, para Sahabat Baginda r.a, seterusnya ucapan salam kepada para 'alim ulamak, kepada guru-guru, kepada para pendidik, dan seterusnya kepada seluruh muslimin muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian... didoakan semoga kita semua senantiasa berada dibawah rahmat-Nya dan ditetapkan iman kita agar tidak berbolak-balik. InsyaAllah sementara ada kesempatan ini saya akan kongsikan lontaran idea yang mungkin kita boleh bahas bersama di sini, dan InsyaAllah saya akan membicarakan mengenai "Hikmah Keterbatasan Akal Manusia".

Sebelum saya membicarakan dengan lebih lanjut, saya akan menghuraikan sedikit penjelasan mengenai perihal tajuk agar ianya lebih mudah difahami. Apabila kita melihat dari sudut bahasa, Hikmah adalah perkataan yang diambil dari kalimah arab yang kemudiannya dirumikan dan digunapakai dalam bahasa Melayu, menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hikmah membawa erti kebijaksanaan daripada Allah SWT, juga diertikan sebagai kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara, manakala bagi akal pula, ia juga diambil dari kalimah arab yang dirumikan yang bermaksud akal fikiran. Hanya manusia sahaja yang dikurniakan oleh Allah SWT akal fikiran, tidak pada binatang tidak juga pada tumbuhan, itulah kelebihan manusia daripada makhluk lainnya, dengan adanya akal kita boleh berfikir, dengan adanya akal juga kita boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Sudah menjadi perkara lumrah, bahawa manusia tidak pernah rasa puas dengan apa yang dimilikinya, ini kerana penciptaan manusia adalah disertai dengan nafsu, dengan adanya pakej akal dan nafsu tanpa disertai dengan iman, maka manusia yang menganggap dunialah segala-galanya, mereka akan menggunakan akal bagi mencari jalan bagaimana untuk memuaskan nafsunya, maka, lahirlah manusia yang tamak, bakhil, dan sentiasa sibuk kerana mencari harta, ada juga manusia yang sanggup merampas, meragut, membunuh dan menzalimi manusia lain demi kerana ingin memenuhi kepentingan dirinya, inilah realiti sikap manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Namun, bukanlah perihal nafsu yang ingin saya bicarakan di sini, tetapi apa yang ingin saya bicarakan di sini ialah kegairahan manusia dalam menggunakan akalnya, bagi manusia yang gemar berfikir, mereka akan terus dan terus mencari jawapan bagi segala persoalan dan tanda tanya yang bermain di fikiran mereka, umat Islam memang digalakkan menggunakan akal fikiran sebagai tanda syukur kita kepada Allah, firman Allah SWT  dalam surah ali-Imran ayat 190 - 191 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka”. (Ali Imran : 190-191)
Namun, kita hendaklah membatasi kerangka pemikiran kita dengan iman, iaitu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, seperti juga sebuah layang-layang yang diikat padanya seutas tali, tali berfungsi bagi menghalang layang-layang daripada terbang bebas tanpa arah sehingga akhirnya ia jatuh tersungkur ke bumi, begitulah juga iman yang mengawal kita daripada melakukan sesuatu yang melampaui batas-batas syariat, yang akhirnya membawa kepada kebinasaan.

Kita perlu sedar bahawa tahap kemampuan akal fikiran kita sebenarnya terbatas, disebabkan itulah kita perlu dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah, banyak perkara yang tidak mampu digambarkan oleh akal fikiran kita, sebagai contoh kita tidak mampu memikirkan perihal roh, bagaimana rupa bentuk roh, dan sebagainya, akal kita juga tidak dapat memikir dan menggambarkan secara detil mengenai perihal syurga dan neraka, bagaimana bentuk dan suasananya, adapun neraka yang digambarkan dalam filem-filem barat itu hanyalah gambaran yang diterjemahkan dari akal fikiran yang terbatas, begitu juga dengan gambaran syurga oleh barat, cukuplah dengan gambaran yang dibawakan oleh al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, ini kerana keupayaan akal kita adalah terbatas, apa yang pasti di akhirat sana lebih baik dan lebih dahsyat dari dunia ini. Sabda Rasulullah SAW:

Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam benak manusia (di syurga),”
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebilangan cerdik pandai barat tidak dapat mengawal keghairahan dalam berfikir, mereka menggunakan akal fikiran yang dipandu oleh hawa nafsu tanpa dibatasi dengan iman, ini menyebabkan lahirnya pelbagai ideologi-ideologi yang dirasakan terbaik, bagi dijadikan pegangan kehidupan mereka seharian, malah menyebabkan munculnya golongan yang bertuhankan akal semata-mata, namun hakikatnya ia mempunyai banyak kelemahan dan keburukan, lebih parah lagi ia membawa kepada kemusnahan sesebuah negara. Ini dapat dilihat dalam ukiran sejarah lalu, apabila jatuhnya kerajaan Soviet Union pada tahun 1991 yang berpegang dengan fahaman Komunisme, inilah bahana berfikir berpandukan nafsu semata-mata, manusia mula merasakan dirinya boleh hidup dengan panduan akal semata-mata tanpa panduan dari tuhan, manusia mula memutuskan tali kebergantungan dengan tuhan, mereka juga mula menolak hukum dari tuhan, dan merasakan ideologi ciptaannya adalah yang terbaik. Walhal banyak lagi perkara yang manusia tidak tahu, hatta tentang dirinya sendiri sekalipun masih banyak yang tidak diketahui. 

Sebijak manapun seseorang itu, ia masih tidak dapat menguasai segenap ilmu pengetahuan, sebijak-bijak manusia, hanyalah setitis ilmunya jika dibandingkan selautan ilmu Allah SWT. Diatas kelemahan kita inilah Allah SWT menurunkan panduan kepada kita untuk meneruskan hidup di muka bumi ini, untuk menuju destinasi bahagia di akhirat kelak.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya di sini, gunakanlah akal kita sebaiknya, iaitu dengan memikirkan keajaiban alam ciptaan Allah SWT tanpa berfikir secara melampaui batas bagai tiada panduan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Apa jua idea yang terlintas di fikiran, terus rujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, sekiranya ia bertentangan dengan keduanya, maka tinggalkan lah.

Oleh: Muhd Khairussyafiq Masran

Sebarang Kemusykilan @ Cadangan, sila utarakan di ruangan Komen, Sekian...

No comments:

Post a Comment