Sunday, July 21, 2013

Kewajipan Menuntut Ilmu

Assalamualaikum wrb dan salam sejahtera, Alhamdulillah bersyukur kehadrat ilahi atas segala limpahan nikmat yang tidak putus-putus keatas alam ini, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad saw serta kaum kerabat & para sahabat Baginda r.a. Insya-Allah pada kali saya akan membicarakan perihal kewajipan menuntut ilmu atas setiap Muslim.

Menjadi insan yang berilmu adalah satu tuntutan dalam Islam, setiap umat Islam diwajibkan menuntut ilmu bagi menghakis kejahilan, ini disokong oleh Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah fardhu ke atas setiap Muslim" 
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Dengan adanya ilmu, maka seseorang itu akan dipandang tinggi dan disegani, malah Allah juga mengangkat darjat bagi orang-orang yang berilmu, firman Allah SWT:

"Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat"
(Surah al-Mujaadilah: 11)

Jika kita lihat pada hari ini, manusia berlumba-lumba mencari ilmu, sama ada ilmu berkaitan agama, sains, teknologi dan sebagainya sering menjadi tadahan kebanyakkan manusia, dengan lahirnya pelbagai teknologi menjadikan ilmu pelbagai bidang mudah dicapai hatta hanya dengan duduk sambil goyang kaki di rumah atau di mana sahaja ia berada. perkembangan ilmu ini menjadikan setiap manusia tidak mahu menjadi insan yang tercicir dalam arus perdana, ini kerana setiap manusia sudah sedia maklum bahawa siapa yang tidak mempunyai ilmu mudah dijadikan mangsa penindasan dan penipuan golongan yang cerdik pandai.

Ilmu merupakan kunci yang penting bagi sesuatu umat atau tamadun bagi mencapai kemajuan, apabila budaya ilmu dalam sesuatu masyarakat itu hidup, maka masyarakat tersebut mudah mencapai kemajuan. Namun, perlu kita fikirkan sejenak, ilmu apakah yang dikatakan wajib untuk kita menuntutnya? seorang Muslim itu seharusnya mengimbangi antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi atau ilmu agama, adalah menjadi perkara yang tidak sepatutnya apabila umat Islam terlalu mengejar ilmu duniawi sehingga mengenepikan ilmu ukhrawi dengan menuntut ilmu duniawi bersungguh-sungguh bagaikan hidup lama di dunia. bukanlah menjadi satu masalah untuk menuntut ilmu duniawi, namun yang menjadi masalah ialah mengenepikan ilmu ukhrawi. Ada juga yang menuntut kedua-duanya namun masih melebihkan yang duniawi. Sepatutnya kita mencari ilmu yang boleh menjadi penyebab untuk kita masuk syurga di akhirat kelak.

Namun ramai manusia yang pandangannya kabur mengenai kehidupan di sana menjadikan mereka memandang enteng mengenai ilmu agama. Alangkah sedihnya apabila manusia berjaya mencapai cita-cita dunia, berjaya di peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti peringkat phD, akan tetapi dalam bidang agama dia ketinggalan, ada yang tidak tahu perkara-perkara asas dalam bidang agama terutama dalam bab fekah, ada juga yang tidak tahu membaca al-Quran, apakah maknanya kejayaan yang dicapai.

Sebenarnya ilmu yang wajib dituntut adalah ilmu fardhu ain, iaitu ilmu yang berkaitan agama, bab aqidah, ibadah dan sebagainya. manakala ilmu-ilmu lain seperti bidang sains, matematik, geografi, teknologi dan sebagainya adalah fardhu kifayah, akan tetapi bukan bermakna anda perlu tinggalkan ilmu fardhu kifayah, seelok-eloknya cuba seimbangkan antara keduanya, maka insya-Allah, anda akan beroleh kejayaan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak. Begitulah yang seharusnya tindakan yang perlu diambil oleh setiap orang Islam, sekiranya anda sekarang sudah beroleh kejayaan di dunia, carilah ilmu akhirat, dalami ilmu agama, carilah mana-mana ustaz yang mengajar ilmu fardhu ain di masjid @ di surau-surau. Keluarlah dari kepompong kejahilan agama.

Sekian Assalamualaikum wrb...

Oleh: Muhd Khairussyafiq Masran

No comments:

Post a Comment