Tuesday, March 8, 2016

Fahami Ilmu Pengubatan Islam

Pengenalan Pengubatan Islam


Maksud pengubatan Islam ialah suatu perbuatan, amalan atau ikhtiar bagi merawat pelbagai jenis penyakit, sama ada penyakit jasmani mahupun rohani (kecuali mati), dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa dari Hadis Nabi saw, doa-doa para ulama atau amalan-amalan Salafussoleh, dengan bermaksud memohon kepada Allah agar dikurniakan kesembuhan, sama ada terhadap diri, mahupun terhadap orang lain.


Tujuan pengubatan tidak lain hanya sebagai ikhtiar kita bagi memohon kepada Allah SWT dengan penuh ketakwaan agar dikurniakan kesembuhan, kerana penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT diiringi penawarnya kecuali mati.


Punca penyakit secara umumnya dapat dibahagikan kepada dua, iaitu penyakit yang disebabkan oleh kegagalan sistem jasmani atau percanggahan sunnatullah dalam jasad manusia, dan yang kedua ialah disebabkan campur tangan makhluk-makhluk halus (jin) terhadap diri, keluarga, kediaman dan sebagainya.



Kepentingan Pengubatan Islam


Semakin kita berada di arus pemodenan dan kemajuan, semakin ramai masyarakat kita yang jahil terhadap agama. Ini menyebabkan masyarakat semakin hilang pertimbangan kewarasan akal menurut landasan syarak kerana hidup tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunah. Apabila manusia jauh dengan al-Quran dan as-Sunah, maka syaitan akan menjadi jurupandu baginya dalam melakukan sesuatu perkara, antaranya ialah dalam berikhtiar mencari kesembuhan.


16. (Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku berlepas diri daripada mu, kerana sebenarnya Aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!" (Surah al-Hasyr: 16)



            Sesetengah manusia diuji dengan ditimpa suatu musibah berupa penyakit yang sukar diubati walaupun setelah mendapatkan rawatan secara alopati, namun disebabkan kejahilannya, mereka mengambil langkah untuk mencari rawatan alternatif tanpa memikirkan syariat Islam asalkan penyakit tersebut dapat disembuhkan, ini termasuklah meminta pertolongan kepada bomoh, tukang sihir, tok batin dan sebagainya. 


            Atas dasar ini lah, pentingnya kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah mengamalkan serta memperkenalkan pengubatan Islam kepada masyarakat Umum sebagai usaha mengalih perhatian manusia daripada mencari kaedah pengubatan yang bertentangan dengan syarak kepada pengubatan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunah.



Konsep Pengubatan Islam


Dalam kita berikhtiar mencari kesembuhan, adalah penting bagi kita memahami sedalam-dalamnya konsep pengubatan Islam, ini adalah supaya aqidah kita tidak tergelincir dari jalan yang benar.


Sebagai orang yang beriman, kita perlu yakin dengan sebenar-benar keyakinan bahawa kesembuhan itu hanyalah milik Allah, bukan doktor yang merawat, bukan ustaz yang meruqyah, dan bukan juga ubat-ubatan yang digunakan. Sekiranya seseorang itu berubat dengan perbelanjaan kos yang sangat tinggi, dengan bantuan doktor-doktor pakar seluruh dunia ditambah pula dengan teknologi canggih sekalipun, namun sekiranya Allah belum mengizinkan untuk dikurniakan kesembuhan, maka selagi itu lah seseorang itu tidak beroleh kesembuhan. Firman Allah SWT dalam surah asy-Syuaraa’ ayat 80:



80. "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan (penyakitku)”.



            Oleh yang demikian, kita manusia yang tidak punya apa-apa kuasa, hanya mampu berdoa serta berikhtiar agar Allah kurniakan kepada kita kesembuhan yang kita inginkan. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment