Saturday, June 15, 2013

Ke mana halatuju kita?

Assalamualaikum wrb.. Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam yang telah menciptakan langit dan bumi, dan yang telah mencurahkan rahmat dan nikmat keatas makhluk-Nya, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum kerabat Baginda. 

Insya-Allah, marilah sama-sama kita bermuhasabah ke atas diri kita yang sentiasa tidak terlepas dari membuat kesilapan dan dosa. marilah kita merenung kembali apakah tujuan kita diciptakan di dunia ini.. nukilan ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi sekadar menukil peringatan buat sahabat-sahabat sekalian terutama buat diri ini.
Allah SWT telah berfirman :-

"Dan (ingatlah) tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku"
(Adz-Dzariyaat: 56) 

Mari sahabat-sahabat kita tanya diri kita, adakah kita telah melaksanakan sebagaimana yang dijelaskan kepada kita mengenai tujuan kita diciptakan di dunia ini? marilah kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah yang telah diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW, kerana dengan keduanya itu kita akan terselamat dari pelbagai fitnah yang sedang berleluasa di dunia ini. Sabda Rasulullah SAW:

"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya"
(Hadis Riwayat Imam Malik) 

Allah juga berfirman:

"Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah al-Quran"
(ali-Imran: 103)

"dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya untuk kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya"
(Al-Hasyr: 7)

Namun adakah segala suruhannya kita laksanakan? adakah segala tegahannya kita tinggalkan? kita perlu ingat, apakah ada lagi umur yang panjang buat kita? apakah amalan kita selama ini diterima oleh Allah SWT? cuba lihat umur kita pada ketika ini, rasanya begitu pantas kita telah mencapai umur kita pada waktu ini... tapi apakah yang telah kita lakukan pada waktu umur-umur kita yang telah lalu? adakah kita penuhi dengan amalan yang membuahkan pahala atau sebaliknya? oleh yang demikian itulah perlunya kita untuk bermuhasabah, merenung kembali di manakah tahap ketaqwaan kita, sejauh manakah amalan kita lakukan.

Bagaimana sekiranya nyawa kita diambil ketika bekalan untuk kita bawa ke akhirat masih belum mencukupi... ingatlah wahai sahabat, azab Allah itu amatlah peritnya. Jika di dunia apabila tangan kita terkena api, maka dengan pantasnya kita menarik tangan kita kerana telah merasai kepanasan dan kepedihannya selama beberapa saat. namun di akhirat kelak bukan sekadar tangan, bahkan seluruh badan akan diazab bagi yang berat timbangan dosanya. pada ketika itu manusia tidak dapat melarikan diri kemana-mana. bayangkan jika di dunia hanya beberapa saat kita terkena api sudah merasai kepedihannya, akan tetapi di akhirat kelak.. sehari di dunia bersamaan seribu tahun di akhirat.. betapa lamanya disiksa.. na'uzubillah min zalik..

Marilah kita sama-sama kembali kepada tujuan asal kita iaitu mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata, hindarilah pengabdian kepada sesama manusia, hindarilah pengabdian kepada harta dan pangkat, kita hidup bukan untuk berjaya di dunia semata-mata sehingga mengenepikan akhirat.. ingatlah, dunia ini hanyalah sementara, dan akhirat jualah yang kekal abadi selamanya, firman Allah SWT:


"padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal"
(Al-A'la: 17)

Jika diberi pilihan, pastinya manusia inginkan kesejahteraan dalam kehidupan yang abadi, manusia mana yang mahu disiksa sepanjang kehidupan abadinya.. tapi manusia mudah lalai dan alpa.. seringkali hanyut dengan dunia, sehingga ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencari kebahagian yang fana, ada yang sanggup membohong, menipu, mencuri,menggadai maruah, berbuat zalim, menfitnah dan sebagainya.. ingatlah, orang yang berbuat zalim dan menfitnah diakhirat kelak dia adalah orang yang muflis walaupun dia seorang ahli ibadah kerana pahala yang dikumpulnya akan diberikan kepada orang yang dizalimi dan difitnah, na'uzubillah min zalik..

marilah kita tetapkan kembali halatuju kita sama ada mahu menjadi manusia yang rugi ataupun manusia yang beruntung... rugi dan untung bukanlah hanya didunia, tapi di kehidupan abadi di akhirat kelak.. memang tidak dinafikan banyak dugaan dan cabaran untuk menjadi orang yang berjaya, lihat sahaja sejarah para anbiya' dan para syuhada' yang berjuang sehingga ada yang ditangkap, diseksa dan dibunuh.. itulah rencam orang yang berjuang.. perjuangan yang perit dalam menegakkan kebenaran, akan dibayar dengan syurga yang diidamkan setiap insan, teringat satu kata-kata bermakna untuk dikongsikan bersama:


"Kehidupan Adalah Perjuangan, Kematian Adalah Kehidupan"


Sekian Wassalam... dipersilakan mendengar & hayati video clip nasyid di bawah semoga mendapat manfaat buat sahabat-sahabat sekalian & semoga kita beroleh maghfirah Allah SWT...

Hijjaz - Debu-Debu Dosa

Oleh: Muhd Khairussyafiq Masran

No comments:

Post a Comment