Monday, January 7, 2013

Fenomena Kebangkitan Arab


Kebanyakan dunia arab atau lebih dikenali sebagai Asia Barat diperintah oleh rejim yang memerintah sehingga berpuluh abad lamanya. Setelah kejatuhan empayar Khilafah Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924 masehi, negara-negara arab mula dipecahkan satu persatu sehingga terwujudnya beberapa buah negara yang berdiri dengan kakinya sendiri, setelah kedatangan penjajah, maka negara-negara arab telah dipimpin oleh rejim untuk tempoh pemerintahan yang panjang.

Sepanjang pemerintahan rejim di dunia arab banyak kezaliman yang timbul, namun rakyat tidak dapat berbuat apa-apa kerana di dalam proses pilihan raya yang diadakan tiada ketelusan, kebebasan suara disekat, sesiapa yang menentang kerajaan akan ditangkap dan dihumban ke dalam penjara, ini dapat dibuktikan dengan sejarah yang dilalui oleh beberapa orang tokoh gerakan Islam seperti As-Syahid Sheikh Hassan Al-Banna, As-Syahid Syed Qutb, Sayyid Abul A’la Maududi dan ramai lagi, mereka telah beberapa kali dihumban ke dalam penjara bahkan ada yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas sebab menentang pemerintah, dalam masa yang sama rakyat terus dizalimi oleh pemerintah.

Begitu banyak kerosakan dan kebatilan yang berlaku dalam sistem pemerintahan rejim negara-negara di asia barat, kerosakan dan kebatilan yang berlaku merujuk kepada pemerintah yang memerintah negara itu sendiri, dan kebanyakkan pemerintah di asia barat mempunyai beberapa sifat sepunya antaranya ialah sistem pemerintahan yang zalim, memegang tampuk pemerintahan dalam jangka masa yang agak lama, pemerintah juga membolot harta kekayaan negara, sikap isteri pemerintah juga dilihat sebagai kebatilan dalam pemerintahan dan sistem pemerintahan yang bersifat tidak demokratik, perkara-perkara inilah yang harus dibendung dalam sistem pemerintahan sesebuah negara (Kamaruzzaman Yusoff, 2012). Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud :-

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji),  dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Penentangan terhadap pemerintah yang zalim telah berlaku sejak abad 20-an lagi, di Mesir sebagai contoh, kemunculan gerakan Ikhwan Al-Muslimun oleh Hassan Al-Banna pada tahun 1928 adalah sebagai langkah yang diambil bagi mengembalikan pemerintahan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah iaitu pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang runtuh pada 1924 bagi menggantikan pemerintahan rejim yang zalim (Riduan Mohamad Nor , 2011 ; 25). Namun segala usaha yang dilakukan masih tidak membuahkan hasil, bahkan beberapa orang tokoh telah syahid dalam memperjuangkan kebenaran.

Oleh yang demikian itu, sebagai jalan terakhir bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh dunia arab ialah dengan melancarkan revolusi bagi menumbangkan kerajaan rejim yang zalim. Fenomena kebangkitan arab menentang rejim yang zalim atau disebut juga sebagai Arab Spring pada abad ke-21 ini telah bertitik tolak dari negara Tunisia iaitu pada Disember 2010 rentetan daripada kezaliman kerajaan terhadap Mohamed Bouazizi yang menyebabkan dia membakar dirinya akibat tertekan.

Bagaikan nyalaan api di atas limpahan petrol, fenomena kebangkitan arab mula tersebar ke beberapa negara arab yang lain, seperti Mesir, Algeria, Syria, Bahrain, Yaman dan sebagainya (Kamaruzzaman Yusoff, 2012), antara negara awal yang terkena percikan api kebangkitan arab ialah Mesir. Negara Mesir diperintah oleh rejim Hosni Mubarak selama 80 tahun lebih, sepanjang tempoh tersebut rakyat Mesir terutama gerakan Ikhwan Muslimun telah menghadapi kezaliman rejim selama 80 tahun lamanya. Perkembangan pesat Ikhwan Muslimun cuba dihalang oleh rejim-rejim Mesir yang telah bekerjasama dengan pihak barat, mereka menerima tekanan politik yang amat dahsyat, ribuan diheret ke penjara tanpa perbicaraan, pelbagai fitnah telah dilemparkan ke atas mereka, gerakan Ikhwan Muslimun juga pernah diharamkan atas sebab menuntut kerajaan agar melaksanakan undang-undang syariah di negara Mesir (Riduan Mohamad Nor , 2011 ; 27). 

Namun sejarah telah membuktikan yang benar akan menenggelamkan yang batil, rejim Mubarak telah berjaya digulingkan oleh rakyat Mesir seterusnya mengangkat Dr. Mohamed Morsi wakil dari Ihkwan Muslimun menjadi presiden baru Mesir, ia dilihat sebagai harapan baru bagi umat Islam di Mesir. Walau bagaimanapun, dalam protes rakyat yang bermula pada Januari 2012 lalu, gerakan Ikhwan Al-Muslimun tidak menunjukkan kehadirannya secara terbuka, ia adalah bertujuan mengelakkan respon keras kerajaan rejim terhadap gerakan itu (Haris Zalkapli, 2012 ; 77).

Dalam kebangkitan rakyat abad ke-21 ini, ulama’ dilihat memainkan peranan yang penting dalam menyemarakkan lagi kebangkitan di dunia arab, khususnya peranan Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi ketika kebangkitan rakyat Mesir, beliau telah mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi setiap individu muslim di Mesir yang tiada keuzuran untuk bersama-sama turun ke dataran Tahrir bagi menjatuhkan kerajaan yang zalim, beliau juga turut serta dalam perhimpunan tersebut apabila beliau memberikan khutbah dan bersama-sama menunaikan solat Jumaat di dataran Tahrir.

Sikap beliau yang berani itu membuatkan rakyat Mesir khususnya dan seluruh dunia arab amnya menjadi lebih berani dalam berjuang menegakkan kebenaran menentang rejim yang zalim. Beliau juga mendoakan agar kebangkitan rakyat Mesir mendapat kejayaan menumbangkan kerjaan yang zalim. Dalam pada itu, peranan beliau juga dapat dilihat dalam kebangkitan arab di negara-negara asia barat yang lain seperti Libya dan Syria bilamana beliau telah memfatwakan bahawa wajib menumbangkan dan membunuh pemimpin kejam Muammar Ghaddafi di Libya dan Bashar Asad di Syria.



Rujukan
Haris Zalkapli (2012), Gerakan Islam dalam fenomena Kebangkitan Arab, Jundi Resource ; Kuala Lumpur.
Kamaruzzaman Yusoff (2012), Wacana Kontemporari Islam 4 : Peranan Ulama & Gerakan Islam Dalam Kebangkitan Arab, UnisZA, Terengganu.
Riduan Mohamad Nor (2011), Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, Jundi Resource ; Kuala Lumpur.


P/s : Artikel ini adalah refleksi dari program wacana kontemporari Islam 4 pada 18 Disember 2012, di UniSZA, Semoga artikel ini bermanfaat buat anda semua... 

Oleh: Muhd Khairussyafiq Masran

No comments:

Post a Comment