Pengenalan
Pengubatan Islam
Maksud pengubatan Islam ialah suatu perbuatan,
amalan atau ikhtiar bagi merawat pelbagai jenis penyakit, sama ada penyakit
jasmani mahupun rohani (kecuali mati), dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran,
doa-doa dari Hadis Nabi saw, doa-doa para ulama atau amalan-amalan Salafussoleh,
dengan bermaksud memohon kepada Allah agar dikurniakan kesembuhan, sama ada
terhadap diri, mahupun terhadap orang lain.
Tujuan pengubatan tidak lain hanya sebagai
ikhtiar kita bagi memohon kepada Allah SWT dengan penuh ketakwaan agar
dikurniakan kesembuhan, kerana penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT diiringi
penawarnya kecuali mati.
Punca penyakit secara umumnya dapat
dibahagikan kepada dua, iaitu penyakit yang disebabkan oleh kegagalan sistem
jasmani atau percanggahan sunnatullah dalam jasad manusia, dan yang
kedua ialah disebabkan campur tangan makhluk-makhluk halus (jin) terhadap diri,
keluarga, kediaman dan sebagainya.
Kepentingan
Pengubatan Islam
Semakin kita berada di arus pemodenan dan
kemajuan, semakin ramai masyarakat kita yang jahil terhadap agama. Ini
menyebabkan masyarakat semakin hilang pertimbangan kewarasan akal menurut
landasan syarak kerana hidup tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunah.
Apabila manusia jauh dengan al-Quran dan as-Sunah, maka syaitan akan menjadi
jurupandu baginya dalam melakukan sesuatu perkara, antaranya ialah dalam
berikhtiar mencari kesembuhan.
16. (Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti
(sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah
engkau!" setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab),
berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku berlepas diri daripada mu,
kerana sebenarnya Aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh
alam!" (Surah al-Hasyr: 16)
Sesetengah manusia diuji dengan
ditimpa suatu musibah berupa penyakit yang sukar diubati walaupun setelah
mendapatkan rawatan secara alopati, namun disebabkan kejahilannya, mereka
mengambil langkah untuk mencari rawatan alternatif tanpa memikirkan syariat Islam
asalkan penyakit tersebut dapat disembuhkan, ini termasuklah meminta
pertolongan kepada bomoh, tukang sihir, tok batin dan sebagainya.
Atas dasar ini lah, pentingnya kita
sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah mengamalkan serta memperkenalkan
pengubatan Islam kepada masyarakat Umum sebagai usaha mengalih perhatian
manusia daripada mencari kaedah pengubatan yang bertentangan dengan syarak
kepada pengubatan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunah.
Konsep
Pengubatan Islam
Dalam kita berikhtiar mencari kesembuhan,
adalah penting bagi kita memahami sedalam-dalamnya konsep pengubatan Islam, ini
adalah supaya aqidah kita tidak tergelincir dari jalan yang benar.
Sebagai orang yang beriman, kita perlu yakin
dengan sebenar-benar keyakinan bahawa kesembuhan itu hanyalah milik Allah,
bukan doktor yang merawat, bukan ustaz yang meruqyah, dan bukan juga
ubat-ubatan yang digunakan. Sekiranya seseorang itu berubat dengan perbelanjaan
kos yang sangat tinggi, dengan bantuan doktor-doktor pakar seluruh dunia
ditambah pula dengan teknologi canggih sekalipun, namun sekiranya Allah belum
mengizinkan untuk dikurniakan kesembuhan, maka selagi itu lah seseorang itu
tidak beroleh kesembuhan. Firman Allah SWT dalam surah asy-Syuaraa’ ayat 80:
80.
"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan (penyakitku)”.
Oleh yang demikian, kita manusia
yang tidak punya apa-apa kuasa, hanya mampu berdoa serta berikhtiar agar Allah
kurniakan kepada kita kesembuhan yang kita inginkan. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment