Apabila tiba tarikh 31 ogos,
maka laungan keramat kemerdekaan akan bergema di seluruh negara kita, jalur
gemilang juga dikibar dengan megahnya menzahirkan rasa cinta kepada negara dan
rasa syukur kerana bumi Malaysia tidak lagi dijajah oleh bangsa asing. Kita
seharusnya menghargai pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu yang
bermandi darah, bermati-matian mempertahankan agama, tanahair dan bangsa
daripada cengkaman kuasa asing, dengan keringat perjuangan mereka serta izin
daripada Allah SWT, maka negara kita kini mampu berdiri megah di mata dunia.
Namun,
kita perlu sedar, secara zahirnya memang tidak dinafikan bahawa negara kita
sudah bebas dari cengkaman penjajah, akan tetapi adakah kita benar-benar bebas
dari pengaruh Barat? Lebih-lebih lagi jika kita teliti dari sudut jiwa dan
pemikiran kita. Mungkin ramai yang tidak menyedari akan hakikat ini dan
menganggap ianya perkara biasa bagi kita yang sedang menongkah arus globalisasi
dan modenisasi ini, memang benar bahawa kita tidak dapat melawan arus
globalisasi dan modenisasi yang sedang melanda kita pada hari ini, namun itu
tidak menjadi alasan untuk kita terus hanyut dibawa arus tanpa pegangan yang
utuh.
Jika
kita meneliti sejarah perjuangan penentangan penjajah di Alam Melayu,
kebanyakan pejuang adalah dari kalangan para ulama dan tok-tok guru, seperti
Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya, ini menunjukkan bahawa mereka dari awal
lagi sedar bahawa kehadiran penjajah di Alam Melayu ini bukan sahaja kerana hasil
buminya yang kaya, akan tetapi tersirat di sebalik matlamat itu adalah bagi
menyebarkan fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan
merosakkan anak bangsa. Kita tidak boleh melupakan jasa pahlawan terdahulu,
kerana ianya bukan sekadar kisah silam atau hikayat-hikayat penglipur lara,
akan tetapi ianya merupakan mesej yang amat bernilai untuk generasi-generasi
selepasnya, tapi sayang, masyarakat kini tidak melihat sejarah sebagai sebuah pengajaran.
Apabila
Barat menyedari bahawa usahanya untuk menguasai Tanah Melayu menemui jalan
buntu kerana semangat perjuangan bangsa Melayu bukan calang-calang, maka mereka
harus memikirkan serangan yang lebih halus, iaitulah serangan pemikiran. Mereka
merasakan serangan pemikiran atau disebut juga sebagai perang saraf lebih
berkesan setelah mereka berjaya meruntuhkan kerajaan Khilafah Uthmaniyah pada
tahun 1924 hanya dengan menyuntik racun pemikiran Sekularisme ke dalam jiwa dan
pemikiran umat Islam di Turki, ianya tampak halus, namun berbisa.
Jika
dengan serangan ketenteraan, umat Islam akan bersatu mengerah tenaga
menentangnya, namun jika dengan serangan pemikiran, maka boleh jadi kerajaan
Islam ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri yang beragama Islam setelah diracuni
pemikirannya, sebagaimana yang telah berlaku kepada Turki Uthmaniyah yang
ditumbangkan oleh Mustafa Kamal Attartuk iaitu pejuang Sekularisme di Turki,
inilah bahana serangan pemikiran yang dilancarkan oleh Barat, walaubagaimanapun
umat Islam masa kini masih lagi lena dalam tidur diulit mimpi yang indah,
sedangkan musuh Islam sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan Islam.
Lihat
sahaja di negara kita Malaysia, berapa ramai anak-anak muda terjebak dengan
gejala-gejala dan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, hiburan
melampau, seks bebas, pesta liar, merempit, penyalahgunaan dadah dan
sebagainya, ini menunjukkan bahawa sebenarnya kita belum lagi merdeka dari
sudut jiwa dan pemikiran walaupun zahirnya kita telah bebas dari penjajah, kita
perlu sedar, golongan remaja inilah yang akan kita tinggalkan sebagai pewaris
kita pada masa hadapan.
Tanggungjawab
bagi membentuk pewaris pimpinan negara ini tidaklah tertanggung ke atas bahu
guru dan ibubapa sahaja, akan tetapi ia adalah tanggungjawab umat Islam
seluruhnya, kita harus bersama-sama memastikan agar generasi pelapis kita tidak
tewas dengan arus serangan pemikiran yang membawa kepada keruntuhan ahklak,
namun, kita juga harus waspada, dalam memastikan generasi kita tidak diracuni
pemikirannya, kita juga harus terlebih dahulu memastikan diri kita tidak
termakan racun-racun pemikiran Barat agar pembentukan generasi yang diidamkan
dapat direalisasikan, janganlah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya
berjalan lurus, kerana bagaimana acuannya, begitulah kuihnya.
Oleh: M.Khairussyafiq Masran
Jika ada sebarang pertanyaan, kemusykilan, cadangan @ kritikan, sila tulis di bahagian komen atau email ke alamat khairussyafiq@gmail.com
No comments:
Post a Comment